Monday 29 October 2018

Zabidi bersyukur kembali ke Kelantan...

Kelantan  bukan asing bagi Zabidi Ishar yang dilantik sebagai ketua biro negeri itu mulai 1 November ini.
Beliau pernah berkhidmat sebagai kerani di biro Kelantan dan menyambung pelajaran mengikuti program jarak jauh pada tahun 2008.
“Saya bekerja di Kelantan bermula 1992 sebagai kerani dan stringer semasa saudara Roslan Ariffin menjadi ketua biro.
“Encik Roslan yang telah banyak memberi galakan sehingga saya sambung belajar dan menjadi wartawan,” kata Zabidi yang kini menjadi Ketua Biro Kedah.
Beliau menggantikan Ketua Biro Kelantan Mohamad Bakri Darus yang dlantik sebagai Editor Foto mulai 1 November.
Berasal dari Lenggong, Perak, Zabidi dan isterinya, seorang guru yang berasal dari  Gerik, Perak membuat keputusan membeli rumah di Kubang Kerian, Kelantan.
“Alhamdulillah setelah empat tahun bertugas di luar dan berpisah jarak jauh dengan famili di Kelantan, akhirnya saya kembali semula ke Kelantan,” kata Zabidi yang akan bertolak ke Kota Baharu dari Alor Setar esok.
“Saya bersyukur kepada Allah atas pertukaran ini," katanya.
Beliau bertugas selama setahun di Muar sebelum bertukar ke Alor Setar hampir tiga tahun lepas.
“Terima kasih kepada bos-bos di Kuala Lumpur yang selama ini banyak membantu dan memahami situasi petugas.
“Saya berjanji untuk membalas kepercayaan itu dengan memberikan khidmat yang terbaik di Kelantan.
“Saya akan meneruskan usaha yang baik di Kedah untuk dibawa ke Kelantan terutama membabitkan kerjasama semua pihak demi menaikkan nama Bernama.
“Saya juga akan cuba memberikan keutamaan terhadap soal kebajikan petugas termasuk stringer kerana perkara inilah yang lebih membuatkan mereka rasa dihargai.
“Ini seterusnya mampu menggalakkan mereka untuk bekerja dengan baik secara berpasukan,” kata Zabidi, 49, yang menyertai Bernama pada tahun 1991.
Zabidi berkata dengan pengalamannya bekerja di Kelantan sebelum ini, beliau yakin dapat bertugas lebih baik di sana.
“Saya akan mendapatkan pandangan wartawan dan petugas lain terlebih dahulu bagi melihat situasi keadaan biro,” katanya mengenai langkah awal yang akan dilakukannya.
“Kemudian akan memahami kembali situasi politik Kelantan dan merapatkan hubungan dengan contact termasuk pemimpin politik dan masyarakat.
“Jika dahulu mereka kenal dan insyaAllah keadaan itu diharapkan kerjasama mereka akan terus terjalin,” katanya.
“Bezanya di Kedah ada tiga petugas termasuk ketua biro tetapi di Kota Baharu hanya dua sahaja dan doa saya ia tidak menjejaskan operasi pemberitaan dengan bantuan para stringer lain di sana,” katanya.
Ketika dinyatakan bahawa beliau merupakan inspirasi kepada para petugas kerana kejayaan dalam kerjaya dari kerani dan kini menjadi ketua biro Kelantan, Zabidi berkata:
“Ini rezeki Allah yang mencaturkan semuanya.”
“Saya pasti akan rindukan rakan-rakan petugas yang telah memberikan kerjasama terbaik selama tiga tahun di sini,” kata Zabidi yang diraikan petugas biro Kedah dengan jamuan tengah hari ini.
“Keduanya saya pasti rindukan keadaan Alor Setar yang langsung tidak pernah jem  seperti tempat lain.
“Saya juga akan rindukan Nasik Lemak Royale dan Yasmin serta laksa ikan sekoq.
“Saya juga akan terkenang keindahan sawah padi yang tidak ada di tempat lain,” kata bapa kepada dua anak itu.



No comments:

Post a Comment