Thursday 4 October 2018

Liputan menyayat hati...

Tragedi kematian enam anggota Bomba dalam operasi mencari dan menyelamat di  sebuah lombong di Puchong malam tadi disambut sayu di seluruh negara.
Para wartawan yang membuat liputan turut bersedih dengan peristiwa itu.
Pegawai Berita Bernama News Channel (BNC) Mohd Noor Iqram Rosli, yang ditugaskan membuat liputan di rumah keluarga seorang daripada wira itu di Lukut, Negeri Sembilan, jelas kelihatan sedih semasa membuat lintas langsung pagi ini.
“Sedih…sebagai wartawan itulah yang kena kami hadapi,” beliau akui kemudiannya.
“Kita tak tahu ajal maut ni..hanya Allah sahaja yang tahu.. even kita tengah bertugas untuk negara tapi Allah tarik nyawa kita,” katanya mengenai sebab beliau bersedih.
Bagi menghadapi tugasan seperti itu, Iqram berkata beliau perlu bersedia dan mengikuti perkembangan dengan berjumpa keluarga mangsa untuk mendapatkan maklumat.
Tugasan seumpama itu memberinya iktibar agar bersedia apa sahaja dalam menghadapi situasi yang berlaku.
Iqram turut berkongsi catatan yang merupakan luahan terakhir Allahyarham Adnan Othman, 33 tahun di laman sosial media Facebook beberapa jam sebelum kejadian itu.
“Dia seolah-olah dah tahu tanda-tanda itu..hanya dia sahaja tahu,” katanya.
Iqram berkata keadaan bertambah sayu apabila hujan renyai-renyai mengiringi kepulangan jenazah Allahyarham Adnan yang tiba pada pukul 11.45 pagi di rumah  keluargnya di Lukut, Port Dickson.
Allahyarham merupakan seorang daripada enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja pada pukul 9.15 malam tadi.
Jenazah beliau disembahyangkan di  Masjid Lukut selepas solat zohor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raja Jumaat.
Adnan meninggalkan seorang isteri Norshamiza Salleh, 32, dan dua anak masing-masing berumur tiga dan lima tahun.



No comments:

Post a Comment