Wednesday 31 October 2018

Beraksi di Stadium Nasional...

Suatu hari nanti, wartawan Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad akan bercerita kepada anak cucunya pengalaman beliau beraksi dalam permainan bolasepak di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Jadi kenanganlah dapat main di stadium tu sebab bukan senang nak dapat peluang macam ni,” katanya.
Syabil dan seorang lagi wartawan Bernama Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif beraksi untuk Team Media FC dalam perlawanan bola sepak persahabatan menentang  Litar Antarabangsa Sepang (SIC) One Star di stadium itu malam tadi.
Perlawanan itu yang dimenangi SIC 5-3 menarik perhatian kerana turut disertai para pelumba MotoGP seperti Johann Zarco, Maverick Vinales, pelumba MotoGP pertama negara, Hafizh Syahrin Abdullah, pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi, bekas bintang pertahanan Liverpool, Sami Hyypia dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali.
Syabil berkata beliau berasa bertuah kerana dapat bermain kira-kira 30 minit dalam posisi midfielder.
 “Mula-mula masa jalan masuk padang tu saya senyum saja.. rasa seronok sangat sebab sebelum ini hanya buat liputan kat tepi padang..tapi semalam saya pula yang beraksi dalam padang,” kata Syabil, 27, yang berasal dari Bayan Baru, Pulau Pinang.
 “Yang best dapat bermain sepadang dengan pelumba-pelumba MotoGP seperti Maverick Vinales, Johann Zarco, Hafizh Syahrin dan bekas pemain Liverpool, Sami Hyypia.
“Mereka bukan saja mempunyai bakat menunggang motosikal tapi bermain bola sepak juga tidak kurang hebatnya...semua rider tu sangat baik bermain bola sepak,” katanya.
“Mereka sangat ramah..murah dengan senyuman, tak sombong dan pandai melayan peminat yang datang untuk bergambar,” kata Syabil yang menyertai Bernama hampir tiga tahun setengah.
Nazrin pula menganggap peluang beraksi di Stadium Nasional “ibarat mimpi jadi kenyataan”.
“Rasa bangga sangat sebab akhirnya dapat jejakkan kaki kat atas padang keramat kebanggaan rakyat Malaysia,” kata Nazrin yang bermain di posisi tengah selama 70 minit.
“Bola sepak adalah passion saya sejak kecil,” kata Nazrin yang kerap bermain untuk pasukan Bernama bersama Syabil.
Katanya, beliau seronok dapat bermain bersama-sama para pelumba MotoGP itu yang sangat peramah dan sporting.
“Sekaligus buat kami rasa seperti sebuah keluarga,” kata Nazrin, 26, yang menyertai Bernama pada November 2016.
“Sebelum ini tak pernah terfikir akan dapat peluang beraksi di situ. Sepanjang saya membuat laporan di situ, saya selalu berfikir bila agaknya saya dapat jejakkan kaki di padang stadium itu,” katanya.
Menurut Syabil, pasukan Team Media FC ditubuhkan dua tahun lepas.
“Kami sebenarnya lebih mementingkan keakraban sebagai media sukan Malaysia dan penubuhan TMFC tu juga sebagai satu cara kami untuk meluangkan masa bersama melalui sukan.
“Dari segi pemilihan pemain, sesiapa saja dari media sukan di negara ini boleh sertai tetapi mereka terlebih dahulu perlu datang menyertai latihan kami sebelum dibawa untuk menyertai sebarang perlawanan persahabatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment