Thursday 4 October 2018

Kenangan Terindah dengan Datuk Zul…

Melihat dia turun daripada kenderaannya dengan membawa sebuah beg besar sewaktu sampai di pejabat suatu pagi pada minggu lepas, akan tersemat dalam memori untuk seberapa ketika.
Semasa dia menaiki anak-anak tangga untuk memasuki lobi Wisma Bernama, beliau ditanya mengenai beg yang dibawanya itu.
“Nak bawa balik barang sikit-sikit…,” katanya yang jelas merujuk kepada tarikh persaraannya yang tinggal beberapa hari sahaja.
Itulah Datuk Zulkefli Salleh, seorang yang bersikap sederhana walaupun memegang jawatan paling utama dalam pertubuhan ini.
Pada majlis meraikan persaraannya dua hari lepas, koir Bernama mengakhiri persembahan mereka dengan lagu “Kenangan Terindah” seolah-olah menyimpulkan memori selama 39 tahun perkhidmatan Datuk Zul di Bernama.  
Pemilihan lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Samsons itu pertama kali dinyanyikan oleh koir Bernama yang biasanya mengalunkan lagu-lagu patriotik pada perhimpunan bulanan Bernama.
“Setelah mengkaji lirik dan supaya tidak terlalu ‘common’ untuk lagu perpisahan seperti yang biasa kita dengar, kami pilih lagu ‘Kenangan Terindah’,” kata pemimpin koir Muhammad Hadi Razak dari Bernama News Channel (BNC),
Mereka turut menyanyikan lagu ‘Muhibah’ yang bertepatan dengan saranan yang sentiasa disuarakan oleh Datuk Zul agar Bernama menumpukan kepada penulisan mengenai perpaduan masyarakat.
Dalam ucapannya pada majlis itu, beliau menekankan elemen perpaduan ini termasuk melalui sukan.
Beliau berharap dalam kesibukan bekerja, para petugas tidak mengabaikan bersukan.
“Saya sendiri bermain boling dan saya dapati bertambah sihat.
“Saya harap lebih ramai yang akan mengambil bahagian terutama dari kalangan Jabatan Pengarang,” katanya.
Selain penglibatannya dengan boling yang mempunyai liga tersendiri di Bernama dan disertai para petugas pelbagai jabatan, Datuk Zul juga akan meninggalkan kenangan dalam aktiviti kaunseling dan bimbingan kerjaya warga Bernama.
Sebagai Pengerusi AKRAB Bernama, beliau menaikkan imej agensi berita ini kerana penglibatan ketua paling utama sesebuah organsisasi dalam aspek bimbingan kaunseling perkhidmatan awam.
Bagi yang lama di Bernama dengan Datuk Zul – dari zaman wartawan hinggalah menganggotai jawatankuasa pengurusan, tentulah mempunyai banyak kenangan dengannya.
Banyak liputan politik yang kami lakukan dan ada peristiwa yang terus menjadi ingatan kami.
Pernah satu ketika kami membuat liputan pilihan raya dan berkunjung ke pusat sebuah parti politik di ibu negara.
Waktu itu musim hujan dan kami bertanya pemimpin parti berkenaan apa rancangannya untuk menarik orang ramai keluar mengundi.
“Kami ada senjata sulit,” katanya dengan yakin.
Apabila diminta untuk menyatakan ‘senjata sulit’ itu, beliau berkata: “Kalau saya cerita, tak adalah sulit lagi”.
Sebagai wartawan, kami tidak putus asa dan merayu untuk tahu, membuatkan pemimpin itu akhirnya lembut hati.
“Kami dah sediakan 1,000 payung untuk kegunaan mereka yang hendak mengundi,” katanya dan kami saling berpandangan membayangkan ‘senjata sulit’ tersebut.
Sebagai orang lama Bernama, kasih sayang Datuk Zul terhadap agensi berita ini amat mendalam.
Bagaimanapun satu hasrat yang tidak kesampaian ialah melihat penerbitan buku “The Bernama story…from a rented bungalow”.
Buku itu sepatutnya diterbitkan sempena sambutan ulangtahun ke-50 penubuhan Bernama tahun lepas.
Namun hasrat itu terus diimpikan kerana dalam mesyuarat terakhir jawatankuasa pengurusan yang dipengerusikannya bulan lepas, Datuk Zul bertanyakan mengenai perkembangan buku itu dan berharap ia dapat diterbitkan jua akhirnya.  

No comments:

Post a Comment