Sunday 14 October 2018

Seronok buat liputan langsung...

Ketika orang ramai mengharapkan untuk mengetahui sesuatu peristiwa atau acara dengan pantas dan terkini, apa yang dilakukan wartawan R.Ratcharathan menjurus ke arah itu dengan membuat laporan secara terus menerusi Facebook.
Malam tadi, beliau melaporkan mengenai keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson secara langsung apabila pengumumannya dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairy Maamor pada 9.14 malam di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
“Saya memang gembira dapat buat perkara tersebut…,” kata Ratcharathan walaupun tugasan itu memenatkan.
“Perasaan saya ketika membuat Live adalah excited dan juga nervous. Excited sebab dapat memberikan info secara langsung dan nervous kerana saya perlu menjawab soalan netizen ketika Live yang agak mencabar.
“Saya juga tahu bahawa sedikit kesilapan info akan membawa masalah kepada Bernama dan saya,” kata Ratcharathan yang ditempatkan di Meja Multimedia.
Apa persiapan yang dilakukannya sebelum membuat tugasan itu?
“Saya perlu membuat research yang secukupnya supaya dapat memberikan info yang betul dan lengkap kepada penonton, selain mencari idea supaya dapat berbual dengan penonton supaya mereka tidak bosan.
Beliau juga perlu mempelajari teknik mengunakan alat teknologi seperti telefon pintar, saramonic dan gimball.
“Setiap tugasan ada cabaran yang berlainan,” katanya.
“Masalah yang saya hadapi yang pertama adalah perlu memastikan line internet kuat agar dapat membuat live, kadang-kala event ramai orang susah untuk dapat line internet yang stabil.
“Kedua, saya perlu mendapatkan angle camera yang cantik yang mampu menarik perhatian audiens selain menyediakan info atau maklumat lengkap mengenai event Live yang saya buat agar bekalkan maklumat yang betul kepada penonton.
“Paling mencabar ialah saya perlu bersaing dengan jurukamera dan jurufoto yang jauh lebih baik daripada equipment kami,” katanya.
Tempoh liputan juga bergantung kepada sesuatu acara.
“Kalau macam keputusan PRK, ia ambil masa sedikit sebab tunggu keputusan daripada SPR. Durasi dalam 30 minit hingga 2 jam pun boleh jika bateri telefon bimbit tahan,” katanya.
Bagi tugasan PRK Port Dickson itu, Ratcharathan berkata beliau memerlukan masa  dan tenaga yang banyak kerana harus memberi coverage yang adil kepada semua tujuh calon
“Tujuh penjuru membuatkan saya mengetahui lebih banyak info mengenai tujuh calon itu,” katanya.
Tugasan itu menarik perhatian kerana PRK itu turut ditandingi dan dimenangi Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Pakatan Harapan (PH) yang telah disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri.
“Sebelum ini saya pernah buat live sewaktu PRK Seri Setia dan juga PRU14..
“Selain itu, banyak event saya dah buat live seperti pengumuman kabinet kerajaan baharu, Pelancaran manisfesto BN, Sukan SEA dan pembukaan parlimen,” kata Ratcharathan yang sudah empat tahun lebih bekerja di Bernama.
“Saya berharap semua petugas Bernama dapat mempersiapkan diri ke arah teknologi yang bergerak agak pantas dan keluar dari amalan yang dipraktikkan sebelum ini kerana ia mungkin tidak relevan lagi dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment