Sunday 21 October 2018

Hati saya tetap bersama warga Wisma Bernama, kata Adnan


Editor Foto Saudara Adnan Jahaya amat bersyukur dengan keprihatinan pengurusan Bernama yang menukarkan beliau kembali untuk bertugas di negeri kelahirannya Perlis.
“Saya tidak menduga kesakitan yang saya alami menghulurkan anugerah yang amat berharga,” kata Adnan yang sedang menjalani rawatan penyakit Bell’s Palsy yang dialami sejak 1 September lepas.
“Saya telah melapor diri kepada Ketua Biro Perlis Saudara Zainal Abdul Jalil pada pagi hari Jumaat dan berbincang mengenai tugasan,” katanya.
“Secara dasarnya saya akan menulis berkaitan isu terpilih dan bukan liputan harian. “Ini kerana keadaan saya belum boleh bergerak secara lasak,” kata Adnan yang  menerima rawatan fisioterapi dua kali seminggu di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar..
Selepas bertemu Zainal, beliau ditemani isteri datang ke ibu negara untuk mengambil barangan peribadi di pejabatnya di Wisma Bernama.
“Ketika sampai ke Wisma Bernama banyak petugas yang bertanya khabar dan saya memaklum tahap kesihatan semakin baik.
“Saya boleh bertutur dengan sempurna cuma penglihatan masih lagi terganggu,” katanya.
Antara sahabat yang ditemuinya ialah penyunting Haji Shamsudin Puteh yang sungguh gembira dan bersyukur kerana Adnan lekas sembuh.
“Pertuturannya pun dah jelas,” kata Haji Shamsudin.
Menurut Adnan, beliau akan pulang ke Kangar hari ini dan mula bekerja di Biro Perlis esok.
“Bagi saya bertugas di Perlis memberi kemudahan kepada saya untuk membuat rawatan di hospital berhampiran rumah.
“Terima kasih Bernama yang menghadiahkan pertukaran ini.
“Pastinya  hati saya tetap bersama warga Wisma Bernama meskipun saya berada di sebuah negeri yang dipagari tembok dan pagar sempadan antarabangsa di bahagian utaranya,” kata Adnan.

No comments:

Post a Comment