Tuesday 9 October 2018

Tahap kesejahteraan penjawat awam sederhana, kata KPPA

Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia (IKPM) menunjukkan tahap kesejahteraan atau psikologi penjawat awam sebagai sederhana, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Borhan Dolah.
Menurutnya, hasil kajian fasa pertama terhadap penjawat awam pada Ogos lepas mendapati nilai komposit indeks kesejahteraan psikologi penjawat awam adalah pada kadar 6.9 daripada skala maksimum 10.
"Ini menunjukkan tahap kesejahteraan penjawat awam adalah pada tahap sederhana," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam ke-23, di Putrajaya hari ini.
IKPM merupakan satu inisiatif yang dibangunkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengukur tahap kesejahteraan mental dan emosi rakyat mencakupi pelbagai dimensi kesejahteraan psikologi.
Berikutan itu, Borhan mahu ketua-ketua jabatan lebih peka dalam menangani situasi pegawai dan kakitangan dengan memastikan mereka menjaga kesejahteraan fizikal, spiritual serta emosi selain membentuk budaya positif bagi meningkatkan prestasi organisasi.
"Jika tidak ditangani dengan efektif, situasi tersebut boleh menjurus kepada penurunan kualiti kerja sekali gus memberi kesan kepada perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.
Borhan berkata antara inisiatif yang boleh diambil ialah melaksanakan program-program psikologi untuk kelompok yang belum mengalami masalah kesihatan mental.
Beliau juga mahu perkhidmatan kaunseling dalam konteks komuniti diperkasa untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
Setiausaha AKRAB Bernama Puan Hasnita Ibrahim turut menghadiri persidangan itu sebagai seorang daripada tiga wakil AKRAB Kementerian Komunikasi dan Multi Media (KKMM).
Walaupun AKRAB Bernama tidak memenangi anugerah pada tahun ini, namun para anggotanya telah memberi sumbangan sewajarnya.
"Moga semangat kita terus membara untuk membantu," kata Timbalan Pengerusi AKRAB Bernama Puan Sharifah Zaini Syed Zain. 
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment