Monday 15 October 2018

Lagi misi bantuan kemanusiaan ke Sulawesi


Wartawan Muhammad Faiz Baharin menyertai misi bantuan kemanusiaan kali kedua Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bagi mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia.
Rombongan itu selamat tiba di Palu pada 6.40 pagi waktu tempatan hari ini.
Misi yang disertai 40 sukarelawan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) menaiki pesawat Malindo Air pukul 8.40 malam tadi waktu Malaysia sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sukarno-Hatta di Jakarta pada 9.45 malam waktu tempatan.
Pasukan sukarelawan Mapim kemudian menaiki penerbangan domestik Lion Air yang mengambil masa kira-kira empat jam sebelum tiba di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al Jufrie di Palu.
Menariknya, ketika sukarelawan yang lengkap memakai ‘vest’ berwarna hijau tertera lambang Jalur Gemilang, logo Mapim dan tulisan ‘Humanitarian Mission’ (misi kemanusiaan) tiba di Jakarta, kumpulan berkenaan tidak putus-putus diberikan ucapan ‘terima kasih Malaysia’ oleh beberapa warga Indonesia di sekitar lapangan terbang.
“Terima kasih Malaysia, moga selamat, moga sentiasa sihat ya untuk membantu, tidak pernah lelah ya,” antara ucapan warga Indonesia kepada sukarelawan.
Perkara berkenaan dilihat membuatkan para sukarelawan menjadi lebih bersemangat dalam membawa nama Malaysia sepanjang menjalankan misi kemanusiaan itu.
Mapim membawa lebih 10 trak bantuan meliputi 3,000 pek makanan; 2,000 pek kebersihan; 2 ribu pek solat mengandungi sejadah dan telekung selain susu bayi; susu untuk ibu; lampin bayi dan tuala wanita.
Gempa bumi dengan magnitud 7.7 pada skala Richter dan tsunami yang melanda Palu pada 28 Sept setakat ini telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan akibat tragedi berkenaan.
Faiz turut melaporkan secara langsung menerusi Facebook mengenai keadaan pasca gempa bumi dan tsunami di Palu.
Menurutnya, kebanyakan penduduk yang terjejas di kota itu semakin  ketandusan barangan keperluan asas atau ‘sembako’ selepas 17 hari dilanda gempa bumi dan tsunami.
Sembako merupakan bahasa tempatan yang merujuk kepada barangan keperluan asas penduduk seperti beras, gula, minyak masak, susu, daging, telur ayam selain bekalan air bersih.




No comments:

Post a Comment