Tuesday 9 October 2018

Anugerah Media Pelancongan Perubatan diperkenalkan...

Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) mempelawa pencalonan wartawan antarabangsa dan tempatan, serta agensi media untuk Anugerah Media Pelancongan Perubatan (MTMA) 2018 yang buat julung kali diadakan.
Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli berkata anugerah itu merupakan sebahagian daripada usaha agensi untuk meningkatkan profil Malaysia sebagai destinasi global utama untuk penjagaan kesihatan.
Media memainkan peranan penting melalui laporan mengenai industri pelancongan perubatan Malaysia, katanya dalam satu kenyataan
“MHTC mengiktiraf dan memperaku sokongan yang diberikan oleh media bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia dalam inisiatif kami untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan global yang terkemuka.
"Anugerah ini bertujuan untuk memberi penghargaan kepada yang terbaik dalam kewartawanan pelancongan perubatan dalam kategori meliputi media cetak, televisyen, radio dan media online," kata Sherene.
Sebanyak lima kategori akan dipertandingkan pada MTMA 2018 termasuk Anugerah Media Pelancongan Perubatan (Media Cetak Terbaik), Anugerah Media Pelancongan Perubatan (Media Penyiaran Terbaik), Anugerah Media Pelancongan Perubatan (Media Online Terbaik), “Medical Travel Journalist of the Year” dan ​”​​​​​​Medical Travel Editorial Team of the Year.”
"MTMA 2018 adalah sebahagian daripada usaha Malaysia Healthcare untuk membuka jalan ke arah mencapai “Malaysia Year of Travel Travel 2020 (MYHT2020)" bertujuan  memposisikan negara sebagai hab Asia untuk rawatan kesuburan dan kardiologi, serta destinasi global utama untuk pelancongan penjagaan kesihatan.
Ini sejajar dengan matlamat negara untuk menjana hasil sebanyak RM2.8 bilion dengan anggaran impak ekonomi sebanyak RM10 bilion yang disumbangkan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.
Pemenang empat kategori pertama masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM8,000 dan trofi manakala pemenang kategori final akan menerima hadiah wang tunai RM8,000 dan trofi ," kata beliau.
Sekretariat kini menerima penyertaan bagi mana-mana artikel atau ciri penyiaran yang diterbitkan atau disiarkan ke udara antara 1 Jun 2018 hingga 30 Jun 2019.
Tarikh akhir penyerahan penyertaan adalah 30 Jun 2019 dan keputusannya akan diumumkan pada majlis penyampaian anugerah di Kuala Lumpur menjelang Ogos 2019.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment