Monday 8 October 2018

Rindu asam pedas kantin Bernama...

Sejak menyertai misi bantuan untuk mangsa gempa bumi dan tsunami Sulawesi, menu makanan harian Ketua Meja Jenayah Bernama Amrizan Madian boleh dikatakan nasi Padang.
“Jemu dah, hari-hari nasi Padang,” katanya.
“Rindu asam pedas, kantin Bernama,” katanya dari Jakarta sementara menunggu barangan dimuatkan ke dalam pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). 
Pesawat besar itu akan menghantar bantuan terus ke Palu dari Pangkalan Udara Halim Perdana Kusuma Jakarta.
Menurut Amrizan, ratusan mangsa gempa bumi dan tsunami menunggu  bantuan kemanusiaan di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri di Palu.
Antara penduduk yang ditemuinya semalam Sadile Hadid, 30, berkata beliau juga menunggu  keperluan yang dihantar anggota keluarganya dari Jakarta.
“Kami sangat memerlukan bantuan seperti sembako (sembilan barang keperluan asas), air bersih, petrol dan keperluan harian untuk kanak-kanak dan wanita,” katanya.
Ketika ini, Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri sibuk dengan penerbangan keluar dan masuk pesawat pengangkut tentera yang membawa bantuan misi kemanusiaan untuk mangsa gempa bumi dan tsunami Palu serta Donggala, Sulawesi.
Tentera Nasional Indonesia (TNI) dilihat mengawal ketat pergerakan masuk dan keluar penumpang selain memastikan agihan bantuan bencana lancar.
Mengimbas kembali kejadian itu, Sadile berkata beliau terdengar azan Maghrib berkumandang pada kira-kira 6.10 petang dan beberapa minit selepas itu bumi bergegar diikuti tsunami melanda Palu dan memusnahkan apa sahaja yang ada di permukaannya.
Beliau berkata semua yang ada di depannya musnah hanya dalam beberapa minit sahaja dan hampir semua bangunan serta kediaman yang ada di Palu runtuh akibat beberapa gegaran kuat 7.5 pada skala Richter itu.
"Kami sekeluarga selamat namun rumah dan kampung kami di Perumnas (Perumahan Nasional) musnah ditelan bumi. Air laut pula seperti menelan pantai Talise sekitar detik 6.30 petang," katanya.
Menurutnya ketika ini sudah lebih seminggu selepas gempa dan ramai penduduk yang masih hilang dan tertimbus.
"Ada ramai keluarga lain dan saudara saya hilang. Kami masih mencari mereka dan akan terus mencari mayat mereka yang tertimbus di dalam bumi," katanya.
Setakat ini, 11 negara menghantar 18 pesawat untuk misi bencana di Palu.
-- BERNAMA




No comments:

Post a Comment