Sunday 28 October 2018

Kemenangan dramatik Perak julang Piala Malaysia

Kejayaan Perak menjulang Piala Malaysia 2018 di Stadium Shah Alam malam tadi memberikan banyak pengajaran dalam perlawanan akhir yang dianggap paling dramatik.
Ketinggalan 0-2 kepada Terengganu pada separuh masa pertama menerusi dua gol penyerang berbisanya, Kipre Tchetche tidak mematahkan semangat para pemain Perak untuk terus berusaha pada separuh masa kedua.
Perak tidak menunggu lama untuk merapatkan kedudukan menerusi rembatan Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-46.
Selepas jaringan itu, perlawanan disaksikan 78,783 penonton itu menjadi lebih tegang dengan beberapa insiden terjahan keras dan pergaduhan kecil serta dicemari dengan dua layangan kad merah, masing-masing kepada penyerang Perak Gilmar da Silva (minit ke-58) dan pemain tengah Terengganu Lee Andrew Tuck (minit ke-66).
Ketika penyokong dari Pantai Timur itu melonjak gembira meraikan kemenangan, Perak yang mendapat jolokan The Bos Gaurus berjaya mengikat jaringan 2-2 pada masa kecederaan separuh masa kedua menerusi rembatan padu Brendan Gan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Pada aksi masa tambahan itu, Terengganu sekali lagi di depan apabila Mohd Faiz menyumbat gol pada minit ke-96.
Para penyokong Terenganu bergembira dengan gol itu yang dianggap gol yang akan menghadiahkan Piala Malaysia kepada mereka.  
Namun harapan itu berkecai setelah Perak menyamakan kedudukan apabila pemain Terengganu, Igor Zonjic menjaringkan gol sendiri pada minit terakhir permainan memaksa juara ditentukan melalui sepakan penalti.
Perak cemerlang dalam penentuan sepakan penalty dengan menewaskan Terengganu 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada masa sebenar perlawanan akhir itu.
Perlawanan akhir itu ibarat ulangan aksi final Piala Malaysia selepas 17 tahun antara Terangganu dan Perak.
Perak muncul juara Piala Malaysia 1998 selepas mencatat kemenangan menerusi sepakan penalti 5-3 setelah kedua-dua pasukan seri 1-1 sehingga masa sebenar perlawanan sebenar.

No comments:

Post a Comment