Thursday 11 October 2018

Jejak kasih lawatan ke biro...

Ibarat kisah jejak kasih tercetus apabila sepasukan pegawai sumber manusia dan kewangan dari ibu pejabat melawat ke pejabat-pejabat biro di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang mulai semalam.
Sebelum mereka bertolak ke Kangar pagi ini, seorang pesara Bernama yang telah lama cuba dijejaki datang ke hotel penginapan mereka di Alor Setar, mengembalikan nostalgia bagi mereka yang saling mengenali.
Setelah sekian lama, bekas pembantu am pejabat di biro Pulau Pinang, Rosli Nayan yang bersara pada 1 Januari 2013 bertemu semula dengan saudara Azeman Ariffin, yang menjadi ketua biro berkenaan ketika itu.
Rosli, 52, kini menetap di Jitra dan bekerja kampung.
Beliau menyertai Bernama pada November 1984 dan berkhidmat selama 28 tahun sebelum membuat kuputusan bersara pilihan.
Sempena pertemuan itu, Azeman yang kini Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Pentadbiran menyerahkan sijil dan hadiah pesara kepada Rosli yang sebelum ini tidak dapat dihubungi.
Setelah melawat Biro Perlis pagi ini, rombongan itu mengunjungi Editor Foto Adnan Jahaya yang sedang bercuti sakit di  rumahnya di Taman Bukit Kayangan, Kangar.  
Selain Azeman, turut menyertai pasukan pelawat itu ialah Pengurus Kanan Kewangan dan Akaun Puan Sharifah Zaini Syed Zain, Pengurus Bahagian Sumber Manusia Mariati Arif, Pengurus Harta dan Pentadbiran Hasni Farlina Abd Hasim dan Pengurus Kanan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Abdul Halim Hafiz.
Lawatan ke biro itu bertujuan melihat keadaan pejabat, kebajikan petugas serta mendengar sebarang isu berkaitan sumber manusia, pentadbiran, harta dan kewangan.
Ia juga bertujuan membuat naziran dengan menyemak rekod kehadiran petugas, rekod cuti, fail meja dan menambah baik carta organisasi biro.
Biro-biro juga dimaklumkan mengenai cadangan untuk memasang alat pengecam ibu jari untuk rekod kehadiran petugas di semua biro.
Alat itu dicadang dipasang pada bulan Disember untuk dikuatkuasa penggunaannya pada bulan Januari depan.
Mereka akan melawat Biro Pulau Pinang esok. 

No comments:

Post a Comment