Sunday 7 October 2018

Penderitaan cetus kerinduan....

Amirul (kiri) dan Mustaqim
Kalau diturutkan hati, mahu sahaja wartawan Amirul Mohd Sajadi berada lebih lama di Kota Palu, Sulawesi untuk melaporkan kesan gempa bumi dan tsunami yang melanda kawasan itu.
“…banyak lagi masalah mereka saya tak siarkan lagi.
“Tapi saya pun ada keluarga yang sedang menanti…saya nak balik peluk anak saya,” katanya sebaik tiba di Makassar pagi ini setelah berkereta meredah malam dari Kota Palu sejauh 751 km.
Kerinduan Amirul terhadap keluarga semakin membuak setelah melihat penderitaan  penduduk yang kehilangan anggota keluarga dalam tragedi itu.
“Rindu…anak saya seorang sahaja…lelaki berumur 3 tahun bulan depan.
“Dia hari-hari video call saya di sini sebab saya rapat dengan dia,” kata Amirul yang berada di Kota Palu selama enam hari.
Bersama jurufoto Mustaqim Khairuddin, mereka menyertai Kumpulan Misi Bantuan Kemanusian Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) untuk  membantu mangsa gempa berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami yang melanda Kota Palu pada 28 Sept lepas.
Semalam mereka memulakan perjalanan pulang dengan berkereta ke Makassar yang mengambil masa 24 jam.
“Penerbangan ke Jakarta pukul 10.55 pagi, lepas tu dari Jakarta ke Kuala Lumpur pukul 2.40 petang dan dijangka tiba 5.35 petang ini,” katanya.
“Penderitaan penduduk setakat apa yang saya dapat lihat, saya akan siarkan lagi cerita mereka,” kata Amirul, 25, yang menyertai Bernama empat tahun lepas.
Semalam beliau melaporkan mengenai Perkampungan Patebo di Kota Palu yang kini umpama padang jarak padang terkukur tanpa kelihatan lagi ketamadunan manusia.
Kawasan seluas lebih 176 hektar itu yang dahulunya penempatan utama bagi warga Kota Palu hilang separuh dalam sekelip mata, kesan bencana alam itu.
Amirul dan Mustaqim mendapati kawasan tragedi itu tidak ubah seperti kawasan bukit yang baharu ditarah tetapi hakikatnya, di bawah tanah itu terdapat sisa bangunan serta mungkin mayat yang masih belum ditemui.
Bagi seorang mangsa, Abdullah Qassam, 31, apa yang berlaku di Patebo merupakan  satu ujian yang dahsyat.
"Cuba kamu bayangkan ketika tragedi berlaku, gempa buminya kuat sangat sebelum tiba-tiba lumpur hitam memancut keluar dari dalam bumi.
"Lumpur tingginya lebih lima meter itu terus menelan perkampungan di sini. Derita kami tidak berakhir di situ, kemudian rumah kami (penduduk) kesemuanya 'digulung' ombak lumpur itu menyebabkan kemusnahan serta kematian yang teruk,” katanya.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia menganggarkan jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah meningkat kepada 1,571 orang.
Abdullah yang kehilangan isteri serta kakaknya dalam kejadian itu berkata semua yang melihat bencana itu merasa pelik kerana kawasan Patebo jauh dari laut yang berlaku tsunami serta 28km dari titik gempa.
"Tapi kesan yang berlaku di sini lebih parah dari kawasan lain," katanya.
Walaupun setelah seminggu bencana itu berlaku, namun jasad isterinya, Doona Turiman, 25, dan kakaknya Hendirimawati Qassam, 34, belum ditemui.
"Keadaan tanah yang bergerak dan ketiadaan struktur bangunan membuatkan saya tidak pasti mana satu lokasi isteri dan kakak saya berada sebenarnya," katanya yang turut menyertai kumpulan sukarelawan mencari dan menyelamat (SAR) di daerah itu.
Menurutnya, beliau menyertai kumpulan sukarelawan itu kerana beliau menganggap mereka yang maut dalam kejadian itu dianggap sebagai saudara.
"Mereka semua ini adalah saudara saya, kami adalah tetangga (jiran) yang sentiasa membantu satu sama lain.... bila saya perlukan bantuan, mereka selalu ada.
"Jadi, ini sahaja yang mampu saya balas iaitu dengan menyempurnakan jenazah mereka sebaiknya… begitu juga dengan orang lain, mereka pun akan lakukan perkara yang sama jika menemui isteri serta kakakku," katanya sebak.
Abdullah berkata beliau akan terus berusaha mengeluarkan sebanyak mungkin mayat agar mereka yang terkorban mempunyai tanda kubur untuk dikunjungi keluarga.

No comments:

Post a Comment