Thursday 4 October 2018

NPC hargai wartawan diserang strok

Walaupun diserang strok pada 10 Julai yang menyebabkan tangan kanan dan kaki kanannya sukar digerakkan, namun sifat ramah wartawan senior Roy Anthony Goh tetap tidak berubah.
Roy, 48, ceria melayan kakitangan Bernama Sabah yang menziarahinya, malah bersemangat untuk sembuh daripada serangan strok yang dialaminya itu.
Roy yang memulakan kerjaya kewartawanannya di akhbar Borneo Mail pada 1993,  bertekad untuk terus menyumbang dalam bidang kewartawanan yang sesuai dengan keadaan kesihatan beliau.
"Suatu hari nanti, mungkin saya masih boleh menyumbang tulisan atau berita ataupun melatih wartawan muda untuk menjadi wartawan yang baik," kata Roy kepada Bernama ketika ditemui di kediaman adiknya di Kota Kinabalu hari ini.
Kakitangan Bernama Sabah yang diketuai Ketua Biro Nashir Mansor berkunjung ke kediaman Roy bagi menyampaikan sumbangan Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) mewakili Presiden NPC Datuk Mokhtar Hussain.
Roy mengucapkan terima kasih kepada NPC atas sumbangan berkenaan. 
Beliau kini menjalani rawatan fisioterapi empat kali seminggu di sebuah hospital di Kota Kinabalu.
Selain akhbar tempatan Borneo Mail, Roy juga pernah berkhidmat sebagai pewarta akhbar nasional The Sun sebelum kembali berkhidmat dengan akhbar tempatan The Borneo Post.
Roy kemudian berkhidmat dengan akhbar New Straits Times Press selama 14 tahun dengan jawatan terakhirnya di syarikat akhbar berkenaan sebagai Editor di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA                 

No comments:

Post a Comment