Saturday 27 October 2018

Bakri sedia galas tanggungjawab baharu


Setelah hampir tujuh tahun bertugas sebagai ketua biro Kelantan, Mohamad Bakri Darus bersedia kembali ke ibu pejabat untuk menggalas tanggungjawab baharu.
Beliau dilantik sebagai Editor Foto mulai 1 November ini, menggantikan Adnan Jahaya yang kembali bertugas di Perlis atas faktor kesihatan.
Bakri berkata beliau ‘suka’ dengan cabaran baharu dan berharap dapat menjalankannya dengan baik.
“Saya bersedia untuk berhadapan dengan tugasan dan cabaran baharu yang dipertanggungjawabkan kepada saya,” kata Bakri yang berkhidmat di Kelantan sejak 1 Januari 2012.
Katanya, antara perkara awal yang akan dilakukannya ialah mengenali secara lebih dekat hala tuju Meja Foto dan kemampuan kerja berpasukan.
Berasal dari Kampung Belukar, Changlun, Kedah, banyak peristiwa menarik yang dialaminya semasa bertugas di Kelantan.
“Saya pernah bertugas di Kelantan (Fasa 1) dari 1997 hingga 2004 sebagai pemberita sebelum berpindah ke Melaka sebagai ketua biro.
“Saya istilahkan Fasa 1 tempoh saya mengenali dan belajar kerjaya kewartawanan. Apabila saya kembali semula ke Kelantan (Fasa 2) pada 2012 sebagai ketua biro, saya istilahkan tempoh mencabar dan menarik kerana dapat melaksanakan tugas dengan sempurna.
Sempat mengendalikan  dua pilihan raya umum iaitu Pilihan Raya Umum 13 dan 14 selain Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubor,” kata Bakri, 49.
Katanya, antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah Bah Kuning 2014, banjir yang begitu dahsyat dan menjadi mimpi ngeri penduduk Kelantan apabila musim tengkujuh.
“Bah itu seumpama tsunami darat,” katanya.
“Satu lagi peristiwa yang menjadi ingatan ialah kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Mursyidul Am Pas dan juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2015.
“Lautan manusia hadir menziarahi jenazahnya,” kata Bakri yang menyertai Bernama pada tahun 1996.
“Tuan Haji Khaidzir Yunus adalah “Mahaguru Pertama” saya dalam mengenali dunia kewartawanan,” katanya.
Antara perkara yang akan dirindui Bakri apabila bertukar ke Kuala Lumpur ialah kemesraan orang Kelantan.
“Selain itu lagu dikir barat asli dan moden dalam sagmen AKOK KelantanFM, gulai serati Cabang Tiga Jalan Sri Cemerlang dan Restoran Faridah “kantin Bernama Kelantan”,” katanya.


No comments:

Post a Comment