Sunday 7 October 2018

Liputan langsung misi bantuan di Palu...


Liputan Bernama secara langsung menerusi Facebook petang ini membolehkan penonton menyaksikan misi bantuan kemanusiaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)  bagi mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia.
Liputan yang dikendalikan Ketua Meja Jenayah Bernama, Amrizan Madian memperlihatkan pesawat A400M TUDM mendarat di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri di Kota Palu kira-kira pukul 4.50 petang waktu tempatan.
Pegawai Memerintah 22 Skuadron yang juga juruterbang pesawat itu Lt Kolonel Baharin Mohamad dan pembantu juruterbang Mejar Inamul Hasan Shuhaimi Basha berjaya mendaratkan pesawat dengan muatan sebuah lori tangki minyak seberat 17 tan.
Sebelum ini, pesawat A400M TUDM itu hanya dibenarkan mendarat di Balikpapan tetapi hari ini pihak berkuasa Indonesia telah memberi kelulusan untuknya mendarat di Palu.
"Pendaratan di Palu hari ini berjalan dengan selamat dan lancar dan akan cuba lagi membawa muatan yang lebih berat esok," kata Lt Kolonel Baharin.
Selain sebuah trak tangki minyak Pertamina, kelihatan beberapa tandas mudah-alih dibawa turun daripada pesawat itu.
Untuk misi kemanusiaan mangsa bencana gempa bumi dan tsunami di Palu dan Donggala yang bermula pada 4 Okt lalu, pesawat A400M telah membuat tiga penghantaran lori tangki
minyak ke Balikpapan sebelum diangkut ke Palu dengan pesawat C130H milik Indonesia.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment