Friday 26 October 2018

AKRAB Bernama bakal jadi pemimpin program KKMM

​​Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)  bercadang  menjadikan A​KRAB  atau Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Bernama​​  sebagai 'tool lead' dalam pelaksanaan program berkonsepkan membantu rakan sekerja.
Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM, Datuk Samsuni Mohd Nor berkata, program berasaskan kaunseling dan perkongsian itu adalah salah satu inisiatif dalam mengembangkan fungsi dan peranan AKRAB yang dirancang kementerian itu pada tahun hadapan.
"Dalam banyak-banyak agensi di bawah kementerian ini, Bernama adalah yang paling aktif dari segi pelaksanaan. Peruntukan yang diberi tahun lalu iaitu RM50,000... kita dapati hasil atau impak yang terhasil adalah lebih daripada jumlah tersebut dengan adanya kesungguhan daripada anggota AKRAB Bernama.
“Jadi, tahun hadapan kita akan mengembangkannya dengan menggunakan Bernama sebagai 'tool lead' program-program yang akan dilakukan dengan turut dianggotai anggota AKRAB dari agensi lain di bawah kementerian," katanya ketika hadir pada Program Hari Terbuka AKRAB Bernama di Wisma Bernama hari ini.
Timbalan Keua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi, Datin Rohana Mustaffa yang mewakili AKRAB Bernama berkata Program Hari Terbuka AKRAB Bernama dicadangkan dijadikan acara tahunan memandangkan ia dilaksanakan setiap dua tahun sekali.
"Kita juga dalam proses 'meremajakan' AKRAB Bernama ini dengan memilih 12 orang sebagai pelapis dalam usaha membantu rakan sekerja di sini menjalani kehidupan dan tugasan dengan lebih baik dan berfikiran positif.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu dihadiri lebih 100 kakitangan Bernama dengan pengisian pelbagai aktiviti seperti pameran Akrab dan Psikologi, aktviti fizikal,terapi muzik serta sesi Personality via Graphology oleh Dr Azura Hanim Hashim.
Pada program bertemakan  “Synergy : Mind, Soul and Body” itu juga, AKRAB Bernama menyampaikan Anugerah Khas kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh yang juga bekas Pengerusi AKRAB Bernama bagi menghargai jasa dan sumbangannya kepada Akrab.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment