Wednesday 13 August 2014

Senyuman abadi InfoLibNews..


 Pengunjung ke majlis “rumah terbuka” Pusat Maklumat dan Perpustakaan Berita  (InfoLibNews) menikmati lebih daripada pelbagai juadah yang dihidangkan. 
Kebanyakan mereka pasti tersenyum, walaupun mungkin diminta untuk memberikan senyuman manis, sebelum meninggalkan majlis yang turut diadakan sebagai tanda kesyukuran berpindah ke “pejabat baru”.
Bagi mengabadikan detik bersejarah itu, para petugas InfoLib mendapat ilham  merakamkan potret tetamu yang disiapkan segera untuk diberikan kepada mereka sebagai cenderahati.
Idea kreatif itu amat praktikal kerana mendorong senyuman keriangan di kalangan para petugas InfoLib dan tetamu untuk bergambar bersama menjalin kemesraan.
Dengan menyelitkannya pada batang buluh, potret segera itu dapat menyerikan lagi meja pejabat masing-masing.
Sambutan untuk potret cenderahati itu begitu menggalakkan sehingga tuan rumah kehabisan kertas pencetakan!
Sebagai gedung ilmu, banyak pengajaran dan pelajaran dapat ditimba daripada pusat maklumat itu.
Antara yang menyerlah ialah maklumat mengenai Bernama yang dipaparkan di dinding. Ia mengandungi latar belakang dan pencapaian perpustakaan Bernama sejak ia mula beroperasi pada Januari 1968.
Pada 15 Januari 2001, perpustakaan itu dikenali sebagai InfoLib dan sejak Jun lepas, menambah perkataan “Berita” kepada namanya.
Ia kini dikenali sebagai InfoLibNews yang mempunyai koleksi lebih 4.6 juta berita dan maklumat. 
Pengurus InfoLibNews Hasnita Ibrahim bersyukur kerana dipermudahkan perpindahan InfoLibNews dari tingkat 8 ke tingkat 11, yang diubahsuai dengan kelengkapan dan memudahan moden, 
“Kami belum mempromosi banyak lagi perkhidmatan kerana baru sangat berpindah.
“Lepas ini, kita akan full swing termasuk memperkenalkan portal kami dan menggalakkan penggunaan e-book,” kata Hasnita yang berpakaian merah -- warna tema petugas bagi majlis itu.
InfoLibNews merupakan pelanggan Perpustakaan eBook Dunia, yang mempunyai koleksi kira-kira tiga juta buku dan dokumen dalam 200 bahasa dan boleh diakses melalui Internet.


No comments:

Post a Comment