Sunday 24 August 2014

Catatan di dinding seorang wartawan sejati…



Foto BERNAMA

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pagi ini mengunjungi bekas editor BERNAMA, Ali Mamat yang terlantar di rumahnya di Dungun, Terengganu akibat penyakit barah hati.
Melihat Ali, menteri itu dapat membayangkan betapa beliau seorang wartawan yang sejati.
Shabery kagum melihat tulisan yang dilakarkan Ali pada dinding kamarnya yang dianggap berkonsepkan 'Writing On The Wall'.
Ali mencatatkan di dinding itu sebagai sebahagian daripada diarinya yang berkisar mengenai hobi memancing misalnya, yang akan menjadi bahan ingatan kepada beliau dan keluarganya sampai bila-bila.
Foto BERNAMA
"Itulah konsep Wall (sebagaimana wall di Facebook) untuk menyatakan status mengenai alam, pasang surut air, kehidupan ikan dan sebagainya yang begitu bermakna sekali," kata Shabery.
Walaupun secara rasminya Ali, 63, tidak lagi bertugas dengan BERNAMA, menteri itu berkata beliau percaya seseorang wartawan tetap menjadi wartawan buat selama-lamanya.
"Saya sukacita apabila melihat beliau sebagai seorang wartawan yang aktif, bukan saja dalam dunia kewartawanannya, tetapi telah membuat liputan merentasi sempadan negara di serata dunia dan sering membawa buah fikiran yang diperoleh itu untuk dikembangkan di daerahnya," katanya.
Shabery diiringi Pengurus Besar BERNAMA Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Biro BERNAMA Terengganu, Amrizan Madian,
Beliau juga sempat bertemu bekas editor eksekutif Bernama dan pengarah perintis NAM News Network (NNN) Abdul Rahman Yeop Norodin atau lebih dikenali sebagai ‘Roger’ semasa berada di rumah Ali.
Abdul Rahman juga menetap di Dungun selepas bersara.
Isteri pertama Ali, Maimun Yahaya, 55, berkata sejak tiga empat hari kebelakangan ini suaminya itu semakin lemah dan kurang bercakap.
"Beliau (Ali) sudah tidak mampu lagi bercakap dan mengurus dirinya dan semua pergerakan dan keperluannya dibantu keluarga," kata Maimun, yang ditemani madunya, Aini Abdullah, 40.
Selepas bersara daripada perkhidmatannya pada Februari 2007, Ali berpindah ke kampung halamannya di Dungun.
Ali yang menghidap pelbagai penyakit seperti barah hati, darah tinggi, kencing manis dan pendarahan kecil pada otak, sering mendapatkan rawatan di Hospital Dungun dan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
 -- BERNAMA


.


No comments:

Post a Comment