Sunday 17 August 2014

Hanya Tiga Peserta Misi Kemanusian Dibenar Teruskan Perjalanan Ke Rafah


Datuk Ku Jaafar (kiri) dan Datuk Azeez (FotoBERNAMA)

Pihak tentera Mesir membenarkan hanya tiga sukarelawan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) ke Gaza meneruskan perjalanan ke sempadan Rafah.
Perkembangan itu berlaku apabila konvoi misi berkenaan disekat berhampiran Terusan Suez di Qantara, kira-kira 160 kilometer dari Kaherah.
Tiga individu itu ialah Presiden KP1M Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Palestin Datuk Ku Jaafar Ku Shaari dan Duta Palestin ke Malaysia Dr Anwar Al-Agha.
Ketiga-tiga mereka dibawa menyeberangi Terusan Suez sebelum meneruskan perjalanan dengan menaiki kereta perisai tentera Mesir pada 2.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia).
Seramai 78 sukarelawan lain termasuk anggota Mercy Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) tidak dibenarkan ke Gaza atas faktor keselamatan.
Arahan itu diberikan komander pos kawalan tentera di Qantara selepas kira-kira lima jam konvoi berkenaan terkandas dan perbincangan diadakan.
Foto BERNAMA
Misi itu merancang untuk mengagihkan 5,000 kotak bekalan makanan kepada 25,000 warga Palestin serta menyampaikan bantuan perubatan kepada mangsa serangan Israel di Gaza.
Hampir 2,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak 8 Julai lalu.
Pasukan sukarelawan Malaysia yang dianggotai 83 peserta itu bertolak dari Kaherah pada pagi Sabtu. 
Mereka terpaksa bermalam di Ismailia disebabkan masalah urusan kargo, sebelum bergerak semula dengan 81 peserta ke sempadan Rafah pada pagi Ahad.
Kecuali tiga wakil yang dibenar meneruskan perjalanan, para peserta lain misi itu terpaksa berpatah balik ke Kaherah.

Laporan Nik Nurfaqih Nik Wil
Bernama

No comments:

Post a Comment