Tuesday 12 August 2014

Klinik AKRAB Bernama bermula...


AKRAB Bernama membuka ‘klinik’ yang pertama hari ini ketika dunia kehilangan seorang pelakon handalan Hollywood yang dikatakan bergelut dengan masalah kemurungan teruk sejak kebelakangan ini.
Aktor komedi serba boleh Robin Williams, 63, yang mempunyai ramai peminat di Bernama, ditemui mati di kediamannya di California Utara semalam.
Ternyata masalah kemurungan boleh membahayakan seseorang sehingga  melibatkan perasaan, emosi, fikiran dan perlakuan pada diri sendiri. Orang yang dilanda kemurungan biasanya menunjukkan pemikiran yang negatif. 
Inilah juga menjadi asas AKRAB atau Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam yang berkonsepkan rakan membantu rakan.
Ia berteraskan asas kaunseling dan kemahiran membimbing dengan perkongsian input pengetahuan serta nilai-nilai murni yang ada pada diri ahli AKRAB.
Konsep AKRAB membantu rakan diwujudkan bagi menyediakan medium perantaraan antara rakan sekerja dengan pihak pengurusan sesebuah jabatan. Ia juga membolehkan pegawai berkongsi idea, tempat meluahkan perasaan, memupuk semangat berpasukan dan mendapatkan bimbingan sokongan daripada ahli-ahli AKRAB.
Klinik AKRAB di tingkat 1, Wisma Bernama yang dibuka setiap Selasa dari pukul 1 hingga 2 petang ini bertujuan menyediakan tempat yang selesa untuk dikunjungi warga Bernama.
Jadual klinik yang dikendalikan oleh dua ahli AKRAB setiap minggu siap diatur sehingga 30 Disember.
Klinik pertama ini dikendalikan oleh Timbalan Pengerusi AKRAB Bernama Puan Sharifah Zaini Syed Zain dan ahli jawatankuasa Ahmad Zukiman Zain. 
Selain mendengar luahan hati petugas yang ditangani dengan kerahsiaan, peranan ahli AKRAB termasuk:
a. Berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan
b. Memberi sokongan kepada perubahan
c. Menjadi agen transformasi perkhidmatan awam
d. Memberi motivasi untuk mengekalkan perubahan
e. Menjadi pembimbing kehidupan berkerjaya
f. Menggalakkan budaya kerja berpasukan
g. Menerapkan nilai-nilai kesukarelaan dan empati

No comments:

Post a Comment