Thursday 28 August 2014

Bapa Merdeka...


Peranan dan sumbangan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj terhadap kemerdekaan Tanah Melayu sangat besar. Walaupun ada pihak yang mempertikai satu dua perkara tentang kemerdekaan yang dicapai daripada Inggeris itu, namun jasa Tunku dalam mendapatkan kemerdekaan negara tidak boleh dinafikan.
Sesuai dengan tema sambutan ulang tahun kemerdekaan tahun ini ‘Di sini lahirnya sebuah cinta’, apa salahnya kita mengenang kembali dan menghargai atau mencintai jasa dan kebaikan Tunku dalam memerdekakan negara.
Sajak ini disiarkan bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara Ahad ini dan bagi menghargai jasa serta sifat terpuji Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia.

POTRET SEORANG PEJUANG

Bapa Merdeka
menyusuri jejak riwayatmu
adalah menjelajahi daerah perjuangan
yang tunjangnya adalah keyakinan
sendinya adalah keberanian
dan senjatanya adalah kebijaksanaan
dalam merungkai belenggu penjajahan

siapalah yang dapat menafikan
jerih pengorbanan yang engkau curahkan
kata nista yang terpaksa kau telan
dalam merintis jalan kemenangan
namun
semangatmu tak pernah pudar
niatmu tak pernah tersasar
dan matlamatmu tak pernah bertukar
kerana yang kau impikan bukanlah kemasyhuran
tetapi kenikmatan sebuah kemerdekaan

Tunku
pada dirimu
kami temui ketulusan perjuangan
keluhuran kepimpinan
dan kemurnian perikemanusiaan
yang tidak mengenal batas keturunan
kepercayaan dan darjat kehidupan
dalam menegakkan keadilan dan keharmonian
di bumi warisan

SHAMSUDIN PUTEH


No comments:

Post a Comment