Friday 15 August 2014

Doa Untuk Malaysia…

Foto BERNAMA

Dataran Merdeka menjadi tumpuan puluhan ribu umat Islam malam ini  untuk mendoakan kesejahteraan Malaysia sempena hari kemerdekaan negara.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri kabinet menyertai lautan manusia di dataran bersejarah itu menadah tangan memanjatkan doa kepada Ilahi.
Antara kandungan doa ialah agar Allah melindungi nikmat perpaduan yang dikecapi selain memohon kesejahteraan dan keamanan buat negara.
Rakyat Malaysia penganut agama Hindu dan pengikut Sikh turut berdoa di rumah ibadat masing-masing. Bagi penganut Buddha dan Kristian, majlis serupa dijadual berlangsung pada Ahad ini.
Program ‘Doa Untuk Malaysia’ di Dataran Merdeka itu turut mendoakan agar kehilangan pesawat MH370 dan nahas MH17 di Ukraine yang mengorbankan 298 nyawa merupakan musibah terakhir seumpama nya dalam lipatan sejarah negara.
Mereka turut mendoakan agar penduduk Gaza, yang menjadi mangsa kezaliman rejim zionis Israel, diberi kekuatan supaya mereka akhirnya dapat menikmati kemerdekaan seperti rakyat Malaysia.
Turut didoa Malaysia selamat daripada segala wabak penyakit, apa juga bentuk bahaya dan kekacauan.
Program itu anjuran bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Pendidikan Cheras dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Ia bermula sejak 6.30 petang dengan bacaan zikir, tazkirah, solat Maghrib, bacaan Yasin dan tahlil.
FotoBERNAMA
Muhyiddin menunaikan solat Isyak dan Hajat di tengah padang Dataran Merdeka bersama-sama jemaah lain dengan diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Ia disusuli bacaan doa untuk negara yang diketuai Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Zakariah Isa.
Selain musibah melibatkan dua pesawat itu, Malaysia sebelum ini turut diduga dengan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah.
Majlis malam ini turut diisi dengan selawat dan qasidah pimpinan ulama terkenal Indonesia Habib Syech Abdul Qadir Assegaf diikuti tausiyah Cinta Rasul oleh Sayyid Ahmad Muhammad al-Maliki al-Hasani.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment