Wednesday 6 August 2014

Cerita yang 'menggegar' Bernama…


Shahril (kiri) dan Rashid
Mohd Shahril Pandak Lamat, petugas penting Bahagian Sumber Manusia, mempunyai cerita yang menggegarkan.
“Semalam sesudah selesai menghantar surat dari tingkat ke tingkat, saya terasa pening hingga nak muntah,” katanya.
“Malahan saya rasa baru kena dua hari lepas apabila start kerja setelah cuti Hari Raya,” katanya.
Shahril berkata ketika menghantar surat, ada juga yang bercerita dengannya bahawa mereka merasai gegaran dengan adanya projek pembinaan bangunan di sebelah Wisma Bernama.
Ini membuatkan Shahril mengambil gelas dan mengisi dengan air ketika sampai ke tempat duduknya di tingkat 13. Gelas itu diletakkan di atas meja dan Shahril memerhatinya dengan teliti.
“Boleh nampak air bergegar… memang ini berita yang menggegarkan,” kata Shahril yang telah berkhidmat dengan Bernama selama lapan tahun.
Petugas Bahagian Pentadbiran Rashid Rusydi juga muntah-muntah setelah menghantar surat dari tingkat ke tingkat di Wisma Bernama.
“Saya kena pakai minyak angin…mungkin sebab cuaca panas,” katanya yang bersetuju dengan Shahril bahawa gegaran dirasai setelah projek pembinaan di sebelah bermula.
Gegaran itu semakin dirasai walaupun kerja ‘piling’ dikatakan belum dilakukan.
“Saya tak nak fikir negatif,” kata Rashid terhadap kerisauan yang disuarakan oleh beberapa warga Bernama.
Ketua Rancangan Bernama Radio24 Hakimi Mohd Zain menulis dalam WhatsApp Editor Bernama pada pukul 1.30 petang; “Vibration getting worse on level 15”.
“Cermin di belakang saya ni pun bergegar,” kata Timbalan Ketua Penyunting Perkhidmatan Berita Ekonomi Lat Zaharah Abd Mutalib 10 minit kemudian.
Gegaran ini sedang dipantau oleh Pihak Pengurusan yang mendapatkan pandangan perunding mengenai keselamatan struktur bangunan kita.

No comments:

Post a Comment