Sunday 10 August 2014

Media arus perdana tetap diyakini...



Media arus perdana masih ‘dicari’ oleh penggiat industri perfileman dan hiburan tanahair walaupun muncul “wartawan internet” yang menulis mengenai dunia artis.
Editor Hiburan Berita Harian (Edisi Mingguan) Akmal Abdullah berkata wartawan hiburan satu ketika dahulu menjadi perhatian pembaca dan orang-orang dalam industri kerana ketika itu tidak ada media sosial yang menyiarkan maklumat mengenai artis.
“Sekarang semua orang boleh menjadi wartawan dan mengeluarkan berita menerusi media sosial,” katanya.
“Ada blogger yang dah declare diri mereka sebagai wartawan hiburan… mereka pun berkenalan dengan artis dan siarkan cerita dalam internet,” katanya dalam rancangan “Bersama Wartawan” menerusi Bernama Radio24 pagi ini.
Bagi menghadapi ‘saingan’ itu,  Akmal berkata media arus perdana perlu menumpukan kepada penulisan yang lebih serius mengenai  industri filem, teater, muzik dan hiburan keseluruhan.
“Kita cuba dapatkan temubual eksklusif yang belum keluar ..kita tumpu kepada industri dengan lebih serius
“Kita nampak taktik kita lebih diterima oleh pembaca yang nak tahu mengenai sesuatu isu, seperti harga produk drama tv…pengiat industri muzik dan filem masih mencari media arus perdana untuk meluahkan kebimbangan mereka,” katanya.
Ketika ditanya sama ada jatuh-bangun seseorang artis bergantung kepada wartawan, beliau berkata itu merupakan pandangan ‘tipikal’.
Kadang-kadang bukan disebabkan wartawanpun,  seseorang artis itu jatuh kerana sikap mereka sendiri yang menyebabkan penerbit dan komposer  “tidak berani” mengambil mereka.
Akmal berkata wartawan arus perdana yang menulis dalam apa jua bidang termasuk politik dan sukan merupakan penulis  terlatih dan dikawal oleh editor untuk mengeluarkan bahan yg berkualiti.
“…ada sumber yang kuat, bukan berdasarkan hearsay, blog hanya one-man show, sedangkan media arus perdana, ada editor, penyunting…ada tapisan sebelum berita dikeluarkan,” katanya.
Akmal, yang telah memenangi 14 anugerah kewartawanan sejak menceburi bidang itu pada tahun 1990,  berkata beliau menulis bukan untuk memenangi anugerah tetapi atas nawaitu yang ikhlas.
Beliau banyak menulis secara “separa ilmiah dan santai” mengenai kritikan filem berdasarkan fakta dan kajiannya.
Akmal kerap dijemput oleh FINAS serta Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) untuk bercakap mengenai filem dan menjadi juri dalam beberapa pertandingan berkaitan.
Menurutnya, peranan pengkritik filem penting untuk memberi input baru kepada industri perfileman tempatan agar ia dapat berkembang dan menggalakkan tradisi ilmu dari segi pemikiran.
“Ada kalangan wartawan yang tidak ada ilmu (mengenai filem) dan longgar penulisan mereka, menulis mengikut selera.
“Kalau kata lakonan tak best , kena ada hujah dan bukan setakat hentam saja,” katanya.
Ketika ditanya aspek yang dinilai oleh pengritik filem, beliau berkata banyak sudut yang boleh menjadi bahan tulisan.
Ada yang melihat dari sudut perkara yang hendak disampaikan oleh pengarah filem, adakah naratifnya sesuai dengan cara pengarahan,  aspek lakonan, teknikal, CGI dan sebagainya.
Menjawab soalan, beliau berkata agak susah untuk menentukan ‘resepi’ bagi kejayaan sesebuah filem.
‘Kadang-kadang filem yang dipuji melambung tapi tak dapat penjualan tiket yang tinggi…selera penonton yang rajin ke pawagan tak boleh jangka,” katanya.
Menjawab satu lagi pertanyaan pendengar yang ingin tahu pendapat Akmal mengenai aspek  seni yang terbaik milik  Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, beliau berkata Seniman Agung itu telah diakui sebagai bakat serba boleh dalam bidang perfileman dan seni.
“Allahyarham adalah anugerah Allah kepada kita…ikon dan contoh seniman yang boleh menjadi inspirasi kita,” katanya.
Menurutnya, kajian yang pernah dibuat oleh Universiti Malaya mendapati tiga filem Allahyarham yang terbaik dari segi estetika dan falsafah ialah “Ibu Mertua-ku, Antara Dua Darjat dan Semerah Padi”.
“Filem komedi pula ialah Pendekar Bujang Lapok, Madu Tiga dan Musang Berjanggut,” katanya.
Pada awal program selama sejam itu, Akmal berkata beliau memohon menjadi stringer di pejabat Berita Harian biro Alor Setar pada tahun 1990 selepas tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Beliau mempunyai pengalaman menjadi Ketua Editor majalah sekolah Kolej Sultan Abdul Hamid.
Antara cabarannya semasa menjadi stringer ialah Ketua Biro Berita Harian di Alor Setar ketika itu, saudara Mahfar Ali (sekarang Pengarang Kumpulan BH)  tidak memberikannya tugasan tetapi meminta beliau mencari bahan sendiri.
“Berita pertama yang saya buat telah disiarkan dan mendapat byline,” katanya yang pada peringkat awal kerap menulis mengenai artis yang berkunjung ke Alor Setar  membuat persembahan..
“Saya harus memberi kredit kepada saudara Aziz Desa (bekas wartawan Berita Harian dan TV3) yang mendedahkan saya kepada kerjaya kewartawanan sehingga  saya mula meminatinya,” katanya.
Akmal berkata arwah ayahnya menjadi pendorong untuk beliau menjadi wartawan.
“Arwah ayah saya kata kalau jadi wartawan boleh duduk barisan depan dan jumpa orang besar, artis dan ahli sukan,” katanya.
Kata-kata ayahnya itu menjadi kenyataan apabila pada suatu hari beliau berjumpa dengan Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad pada sebelah pagi, kemudiannya penyanyi Ella dan pada sebelah malam kapten bolasepak Kedah Radhi Mat Din.
Akmal ‘berehat’ daripada menjadi stringer apabila mendapat  tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya selama empat tahun.
Selepas mendapat ijazah dengan mendalami bidang perfileman dan kreatif, beliau memohon kerja tetap sebagai wartawan di Berita Harian pada tahun 1997.
Beliau dilantik sebagai Penolong Pengarang Hiburan pada Januari 2005 dan seterusnya Pengarang Hiburan pada Julai 2007.
Katanya, keazaman dan minat adalah penting bagi seseorang wartawan kerana   bidang ini memerlukan mereka berfikir dalam berkongsi maklumat.
Antara pengalaman menarik yang dilaluinya ialah menulis berita mengenai kemalangan dengan menemubual keluarga mangsa.
“Saya mudah emosi…sebab tu saya terganggu, sebak, sedih ..macam mana seseorang wartawan perlu lakukan untuk membolehkan keluarga mangsa bercakap.
‘Saya kadang-kadang tak sampai hati nak interviu sebab sedih dengan situasi,’ katanya.
Beliau menceritakan mengenai satu kejadian pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) yang terhempas dan mengorbankan pelatihnya.
‘Saya dapat inteviu keluarga mangsa, saya buat berita dan dia suka berita yang saya tulis…dia kata suara saya macam suara abang dia yang terkorban,” kata Akmal.
Beliau juga pernah menemuramah bintang-bintang filem di Amerika Syarikat seperti Jackie Chan dan Jennifer Love Hewitt ketika diundang oleh penerbit filem untuk melawat Hollywood.

No comments:

Post a Comment