Tuesday 19 August 2014

Edar kad jemputan kahwin ....


 Haji Othman Shapei genap 67 tahun pada 28 Julai lepas bersamaan 1 Syawal 1435H.
Dalam kemeriahan menyambut hari lahir dan  Hari Raya Aidilfitri, permintaannya ialah agar sanak saudara dan sahabat handai mendoakan beliau sihat dan selamat hingga Syawal tahun depan.
Beliau dan isteri Hajah Meriam Abdul Rahman pulang beraya di Kampung Guai dalam daerah Bera di Pahang.
“Seronok beraya di kampung berjumpa sanak saudara termasuk cucu-cucu saudara,” kata Haji Othman yang terus berkhidmat dengan Bernama setelah bersara pada tahun 2003 ketika mencapai usia 56 tahun.
Beliau menyertai Bernama pada tahun 1974 semasa ibupejabat Bernama bertempat di Wisma Belia, Jalan Syed Putra.
Setahun kemudian, Othman mendirikan rumahtangga dengan Meriam, seorang guru. Mereka dikurniakan lapan anak – tiga perempuan dan lima lelaki serta tujuh orang cucu.
Beliau dan keluarga kini membuat persediaan majlis perkahwinan anak perempuannya yang bongsu, Mashitah dengan Mohd Muhajir Mohd Jiwahir yang berasal dari Jenjarom.
Majlis kenduri akan diadakan di Dewan Serbaguna MBPJ, Jalan 51A/227, Seksyen 51A, Petaling Jaya pada hari Sabtu 20 September ini dari 12 tengah hari hingga 4 petang.
“Semua ayah mahu anak mereka kahwin cepat agar anak dapat berdikari…sebagai ayah, kita jadi penasihat jika perlu,” katanya ketika singgah di tingkat enam Wisma Bernama hari ini untuk mengedarkan kad jemputan.
Menurutnya, hanya seorang daripada lima anak lelakinya yang telah berumahtangga manakala dua lagi anak perempuannya sudah bersuami.
Setelah hampir 40 tahun bersama Bernama, Haji Othman berkata beliau begitu merasai semangat persahabatan dan pergaulan yang baik di kalangan petugas.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah bertugas di Johor, Terengganu dan Pahang sebelum kembali ke ibu pejabat.
Beliau merupakan satu-satunya presiden kesatuan pekerja-pekerja Bernama yang memegang jawatan itu selama tiga penggal atau enam tahun berturut-turut dari 1991 hingga 1997.
Nasihat beliau kepada wartawan muda -- Buat sahaja kerja yang diarah dan jangan membantah.
“Kalau disuruh pergi ke manapun untuk tugasan, jangan tolak,” kata Haji Othman yang kini bertugas dengan bahagian Bernama.com.
Beliau pernah ditugaskan membuat liputan di Burkina Faso, negara di utara Afrika yang ketika itu boleh dianggap 50 tahun kebelakang kita.
“Kereta pun tak banyak dan kebetulan saya ternampak kereta Proton Wira  dari Malaysia di sana,” katanya. 
Ketika itu beliau membuat liputan lawatan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Shafie Salleh.
Dalam perjalanan pulang, beliau singgah di Paris dan tercapai  impiannya untuk mengunjungi ibu negara Peranchis itu.
Beliau juga pernah membuat tugasan di Romania yang meninggalkan kenangan manis walaupun mungkin menyeramkan bagi orang lain.
“Di sana ada Istana Dracula…saya memang minat filem Dracula lakonan Christopher Lee dan tidak melepaskan peluang untuk pergi melihat istana itu di Transylvania,” katanya.
Beliau juga masih ingat kunjungannya ke Niagara Falls di Kanada ketika menyertai rombongan Majlis Belia Malaysia pada tahun 1973, setahun sebelum menyertai Bernama.
‘Rasa-rasa nak pergi lagi ke Niagara Falls…tempatnya cantik, ada banyak kedai cenderahati,” katanya.

1 comment:

  1. Good blog! You have described in a nice way.
    Thanks for sharing this information.
    Kad jemputan

    ReplyDelete