Saturday 23 August 2014

Bersatu dalam kesedihan...

FotoBERNAMA
 Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menerima beratus-ratus gambar yang merakamkan orang ramai di negara ini sama-sama bertafakur selama seminit bagi menghormati mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.
"Tiada ayat atau perkataan yang dapat saya gambarkan betapa besarnya hati kita atas sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia.
“Ia amat berjaya sekali dan ia begitu mengagumkan dan sungguh luar biasa sekali,"
“Ia merupakan manifestasi kepada kesedaran rakyat Malaysia untuk menunjukkan simpati dan sokongan kita kepada keluarga mangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kota Baharu di Kelantan..
Beliau juga melahirkan rasa puas hatinya dengan laporan media tempatan berhubung istiadat menghormati jenazah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) semalam yang disifatkannya sebagai liputan yang begitu menyeluruh.
FotoBERNAMA
"Saya puas hati dengan laporan media dan kerjasama media terutama ketika menguar-uarkan waktu berkabung dan menguar-uarkan tentang waktu bertafakur. Itu adalah waktu perkara yang memerlukan kerjasama semua dan penglibatan menyeluruh.
"Akhirnya dengan kerjasama semua media dan semua pihak ia boleh dilaksanakan begitu jaya sekali," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memberi peringatan kepada dua buah stesen radio tempatan yang dilihat tidak sensitif terhadap istiadat itu.
Katanya dua stesen radio itu akan juga diminta memberikan sebab kenapa tidak bersama-sama rakyat dan kerajaan dalam suasana hiba itu.
"Stesen itu dianggap berdegil dan masih memainkan lagu-lagu yang tidak sepatutnya dimainkan pada masa itu. Kita minta seminit sahaja tetapi seminit itu dianggap tidak boleh dilakukan. Jadi ini juga kita perlu tahu apakah puncanya," katanya.
Sebagai tanda berkabung,  akhbar-akhbar arus perdana tempatan menggunakan warna hitam dan putih untuk muka depan masing-masing, manakala pelbagai portal berita dalam talian, termasuk portal Bernama menggunakan warna sama.
Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia dipercayai ditembak dan terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas.
Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 penumpang dan anak kapal.
Sebanyak 43 orang termasuk penumpang dan anak kapal merupakan warga Malaysia.
Daripada jumlah itu, 20 jenazah telah dibawa pulang ke tanah air untuk disemadikan.
Rakyat Malaysia bertafakur selama seminit pada pukul 10.54 pagi setelah kesemua 17 keranda dan tiga kendi berisi abu mayat mangsa yang dibawa pulang dengan pesawat MAS MH6129 dari Amsterdam diletakkan di dalam 20 kenderaan jenazah untuk dibawa ke tempat persemadian masing-masing..










No comments:

Post a Comment