Monday 18 August 2014

Bekalan makanan Gaza mula diagih...

Foto BERNAMA


Sebanyak 5,000 kotak bekalan makanan mula diagih hari ini di beberapa tempat di Gaza, sebaik tiga wakil misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) berjaya memasuki wilayah bergolak itu.
Mereka terdiri daripada ketua misi yang juga Presiden KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Palestin Datuk Ku Jaafar Ku Shaari dan Duta Palestin ke Malaysia, Dr Anwar Al-Agha.
Mereka memasuki wilayah Palestin yang menjadi sasaran serangan Israel itu melalui pintu sempadan Rafah pada kira-kira pukul 10 pagi ini waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia) pada hari Isnin.
Bantuan daripada rakyat Malaysia itu mula diagih di Khan Younis, dibantu wakil kerajaan Palestin dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Palestin.
Abdul Azeez berkata misi kemanusiaan itu akan diteruskan seperti dirancang antara lain bagi mengagihkan bekalan makanan kepada sekurang-kurangnya 25,000 warga Palestin.
Tujuh puluh lapan sukarelawan lain termasuk wakil media tidak dibenarkan meneruskan perjalanan ke Gaza apabila konvoi misi berkenaan disekat kira-kira lima jam oleh tentera Mesir di Qantara, berhampiran Terusan Suez semalam.
Abdul Azeez yang juga Pengerusi Biro Kebajikan Umno berkata setakat ini, perwakilan misi berkenaan turut melawat tiga hospital iaitu Hospital Abu Yusuf Al Najar, Hospital Nasser dan Hospital Bulan Sabit Merah Al Amal.
"Semua bantuan makanan, dan perubatan akan kami cuba teruskan sehingga selesai, ini amanah 28 juta rakyat Malaysia, akan kami sampaikan sedaya upaya sepanjang kami berada di sini," katanya.
Abdul Azeez menjangkakan akan keluar dari Gaza esok.
Di Kaherah, para doktor yang tidak berpeluang ke Gaza, akan meneruskan misi bantuan kemanusiaan KP1M dengan membantu rakyat Palestin yang dimasukkan ke hospital akibat serangan kejam tentera Zionis.
Mereka seterusnya akan membuat penilaian sekiranya perlu untuk membawa beberapa pesakit ke Malaysia bagi rawatan lanjut.
Hampir 2,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Gaza sejak 8 Julai lepas.

Laporan Nik Nurfaqih Nik Wil
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment