Sunday 17 August 2014

Darah daging sebagai penulis ....



Menulis sudah menjadi darah daging yang sebati dengannya sehingga susah bagi Datuk Syed Nadzri Syed Harun berhenti walaupun selepas bersara.  
“Saya masih lagi menulis kerana terlalu lama saya berkecimpung dalam bidang kewartawanan…jadi untuk terus bersara tak boleh sebab dah biasa menulis,” katanya dalam program “Bersama Wartawan” menerusi Radio Bernama 24 pagi ini.
Setelah 33 tahun bersama New Straits Times (NST), beliau bersara sebagai Pengarang Kumpulan akhbar itu  pada 30 Oktober 2012, jawatan yang dipegangnya sejak 2009.
Beliau masih menulis untuk akhbar itu bagi kolumnya seminggu sekali.
“Saya tidak mempunyai topik yang spesifik tetapi menulis apa yang saya fikirkan perlu,” katanya mengenai kolumnya itu.
Beliau memulakan kerjaya sebagai pemberita pada tahun 1977 dan tidak berasa sesal semasa bersara setelah mengharungi dunia kewartawanan selama 37 tahun.
“Pada tahun 1977, saya nyaris-nyaris jadi pemberita di Bernama tetapi akhbar The Star  panggil saya dahulu,” katanya.
Akhbar The Star yang ketika itu berpejabat di Brickfields merupakan akhbar kecil berbanding dengan NST, akhbar bahasa Inggeris yang lebih lama bertapak.
“Saya masuk sebagai pemberita biasa, belumpun buat sukan kerana sebagai permulaan menjadi pemberita, kita perlu membuat semua (liputan)…jenayah, mahkamah dan sebagainya,” katanya.
Selepas beberapa bulan, beliau ditanya sama ada mahu menumpukan kepada sukan yang sememangnya menjadi bidang yang diminatinya.
Beliau begitu menyerlah sebagai wartawan sukan dan laporannya kerap mempunyai ‘byline’ sehingga mendapat tawaran daripada NST dua tahun kemudian.
“Saya di Star hampir dua tahun dan saya amat menghargai akhbar itu yang memberi ruang dan peluang untuk saya mendapat nama dan pengalaman kewartawanan,” katanya yang menyertai NST pada tahun 1979.
Dengan pengalaman yang luas, Syed Nadzri berkata bekerja sebagai wartawan memang mencabar  tetapi ia memberi keistimewaan.
“Kita tidak melalui hari-hari yang sama, maknanya hari Ahad seperti ini kita buat liputan ini tetapi kita tak tahu apa yang terjadi esok… every day is a new day, tak membosankan.
“Kita diberi privilege untuk berada di tempat yang memberi berita – news break...
macam tengok perlawanan boxing, kita berada di ring side boleh tengok apa yang berlaku di depan mata kita,” katanya.
“Saya mengharungi macam-macam…kalau orang tanya ada kekesalan, tak ada walaupun kerja mencabar, cuti tak ada, balik malam, keluarga diketepikan, hari minggu pun kerja,” katanya.
Ketika ditanya peneraju rancangan Wan Yuzaini Wan Yahya mengenai cara wartawan “old school” berbanding sekarang, beliau berkata:
“Saya tak tahu istilah ‘old school’ itu tepat atau tidak, memang keadaannya berbeza sekali dari segi kemudahan sekeliling, kelengkapan, teknologi.
“Masa saya mula-mula di bidang ini, teknologinya memang jauh berbeza, masih menulis guna notebook, pakai pen…sekarang ini guna recorder, handphone dan berita ditaip dalam Ipad, macam-macam.
“Dulu apa yang ditulis, balik ke ofis kita taip dengan mesin taip, semuanya lain,” kata beliau.
Ketika ditanya mengenai risiko yang dihadapi wartawan terutama menghadapi tindakan mahkamah, beliau berkata wartawan perlu sentiasa berhati-hati dalam menulis laporan terutama perkara yang kelihatan kontroversi.
“Zaman ini terutamanya kita didedahkan dengan pelbagai maklumat, kadang-kadang kita ingat boleh buat berita menarik tetapi kita perlu berhati-hati.
“Kita kadang-kadang tak sedar impak yang kita tulis adalah besar bila keluar dalam akhbar dan dibaca beribu-ribu orang.
“Saya berpegang  kepada ‘facts are sacred, opinion is free, but it must be based on facts’…apa yang kita tulis mesti berdasarkan fakta,” katanya.
Pada awal program itu, Syed Nadzri berkata beliau meminati muzik “dari kecil sampai sekarang”.
Antara kumpulan yang diminatinya ialah Beatles yang menjadi revolusi ketika itu dengan genre muzik gitar dan dram semasa beliau masih bersekolah.
Katanya, beliau menghayati rentak dan lirik-lirik lagu Beatles sehingga terbawa-bawa dalam tulisannya.

No comments:

Post a Comment