Thursday 14 August 2014

Gaji penuh, masa fleksi untuk belajar …


 Para petugas Bernama yang mengikuti pengajian diploma dan ijazah sepenuh masa dengan Universiti UCSI akan menerima gaji penuh dan waktu kerja fleksi.
Perkara ini dipersetujui pada mesyuarat Panel Biasiswa UCSI yang dipengerusikan Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong di Wisma Bernama hari ini.
Panel akan menemuduga para petugas yang telah memohon mengikuti pengajian komunikasi massa peringkat ijazah di universiti itu minggu depan sebelum ditawarkan kemudahan tersebut.
Ini merupakan mesyuarat ketiga tahun ini bagi panel berkenaan setelah Bernama dan Universiti UCSI menandatangani perjanjian pada 20 Ogos tahun lepas bagi menawarkan peluang kepada petugas melanjutkan pelajaran dan meningkatkan kemahiran mereka.
Pada mesyuaratnya yang lepas, panel itu bersetuju mengikat perjanjian dengan petugas yang mengikuti program itu selama lima tahun untuk pengajian diploma dan tujuh tahun untuk pengajian ijazah dan sarjana.
Bidang pengajian yang boleh diikuti adalah bersesuaian dengan keperluan Bernama seperti rekabentuk grafik (graphic design), komunikasi massa (mass communication), pengurusan (management) dan komunikasi bahasa Inggeris (English communication).
Syarat kelayakan ditetapkan oleh UCSI iaitu:

1.      Pengajian Diploma   - 3 kredit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
2.      Pengajian Ijazah       - 5 kredit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
3.      Masters                     - minimum 2.5 CGPA di peringkat ijazah

Sekiranya pemohon tidak mempunyai kelayakan tersebut, pengalaman bertugas dalam bidang berkenaan selama lima tahun boleh diambil kira.
Kuliah akan dijalankan di kampus UCSI Cheras.
Jangkamasa pengajian dipanjangkan dari tiga tahun kepada lima tahun.
UCSI telah mengadakan klinik selama dua hari pada 15 dan 16 Mei lepas serta pada 17 Jun lepas di mana para petugas yang berminat telah membuat permohonan terus kepada UCSI.
Setelah memproses permohonan mereka, UCSI telah mengemukakan senarai pemohon yang layak untuk dipilih oleh panel Bernama.
Panel telah menetapkan sebelum ini bahawa tawaran pengajian akan dibuka kepada ahli keluarga Bernama selepas tiga tahun.
Ini kerana Bernama ingin memberi keutamaan kepada para petugas bagi melahirkan tenaga kerja berkualiti dan menggalakkan budaya kecemerlangan.
Diasaskan pada tahun 1986, Universiti UCSI menawarkan 100 program pengajian akademik dari  peringkat diploma sehingga ijazah serta kursus pendek dan professional.
 

3 comments: