Tuesday 12 August 2014

Mengembalikan zaman gemilang Bernama…



Saudara Ahmat Wahab menamatkan tugas sebagai Pengarah Operasi Perkhidmatan Audio-Visual untuk melaksanakan tanggungjawab baharu melatih tenaga muda wartawan sehingga peringkat pengarang berita.  
Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong, yang mengumumkan demikian hari ini, berkata langkah itu bertujuan mengembalikan zaman kegemilangan Bernama.
“Apabila kita kata glory days of Bernama, saudara Ahmat Wahab adalah salah seorang daripada angkatan itu.
“Kalaulah kita tidak menggunakan kepakarannya, kita mensia-siakan kehadiran beliau di Bernama,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ) di Wisma Bernama.
Perpindahan saudara Ahmat dari Bernama TV ke Pusat Kecemerlangan untuk mengendalikan latihan adalah berdasarkan keperluan yang amat sangat, katanya.
“Kita tak mahu wartawan Bernama sering terpijak kulit pisang dengan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya,” kata Datuk Yong.
Dengan pengalamannya, saudara Ahmat dapat melatih pasukan editorial Bernama sehingga ke peringkat  pengarang terutama mereka yang baharu kembali bertugas di ibu pejabat dari biro negeri.
“Perkara ini tidak boleh dibuat sambil lewa jika kita mahu menjadi pakar komunikasi dan pemberitaan.
“Saudara Ahmat  sangat berpengalaman dan sering mengendalikan kursus team-building tetapi keupayaannya lebih daripada team-building,”  kata Datuk Yong.
Selain penyuntingan berita, saudara Ahmat mahir dari segi ‘news angling’ (mendapatkan sudut berita) untuk menghasilkan berita-berita yang berkualiti.
Datuk Yong berkata Editor Perunding Encik S.Sivaselvam juga ditempatkan di Pusat Kecemerlangan untuk memantapkan latihan kewartawanan Bernama.
Menurutnya, Bernama bertuah kerana mantan Pengurus Besar Datuk Syed Jamil Jaafar, yang juga bekas ketua pengarang, serta editor-editor veteran seperti Musa Scully, Leong Koon Choy dan Amin Husaini Harun masih berkhidmat di organisasi ini.
Datuk Syed Jamil kini penasihat Bernama Radio 24 manakala Musa, Leong dan Amin bertugas di NAM (Non-Aligned Movement) News Network (NNN) yang berpejabat di Wisma Bernama.
Pada mesyuarat itu, yang Dipertua Kesatuan Pekerja-pekerja Bernama Zaharin Mat Noor memaklumkan bahawa jamuan sempena ulangtahun ke-40 kesatuan itu akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 13 September ini.

No comments:

Post a Comment