Friday 22 August 2014

Petugas Tabung Haji di Madinah Solat Jenazah Ghaib Untuk Mangsa MH17


Foto BERNAMA

Petugas Tabung Haji yang sedang giat bersiap sedia menyambut jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci hari ini mengadakan solat jenazah ghaib dan bertahlil untuk mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17.
Solat itu diimamkan oleh Pengurus Ibadat (Madinah) Tabung Haji Mohd Razali Zakaria yang merupakan pengurus penerbitan unit bimbangan Tabung Haji di Kuala Lumpur.
Lebih daripada 50 anggota pasukan petugas Tabung Haji, termasuk pasukan perubatan dan rombongan kebajikan yang terdiri daripada pasukan media, kewangan, pembimbing ibadah dan teknologi maklumat turut serta pada majlis yang diadakan di pusat operasi Tabung Haji Dar Siba di Madinah.
Turut hadir pengurus operasi Tabung Haji Madinah Mohd Zawawi Bostam yang juga Naib Konsul di Konsulat Jeneral (Urusan Haji) Tabung Haji di Jeddah.
Majlis bermula 8.30 pagi Jumaat dengan solat jenazah ghaib dan diikuti tahlil.
Majlis itu diadakan sempena Hari Perkabungan Negara di Malaysia berikutan ketibaan 20 jenazah mangsa MH17 dari Amsterdam untuk upacara pengebumian.
Mohd Zawawi berkata persiapan Tabung Haji bagi menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia sudah 80 peratus siap iaitu dari segi pusat pentadbiran, kaunter perkhidmatan serta pusat rawatan.
Sebanyak 11,000 daripada keseluruhan jemaah haji Malaysia tahun ini akan turun di Madinah sebelum mengerjakan haji di Makkah manakala selebihnya akan terus ke Makkah.
Beliau berkata kumpulan jemaah pertama akan tiba pada Rabu ini, dan diikuti 32 kumpulan lagi yang tiba secara berperingkat dengan kebanyakannya melakukan ibadah haji tamatuk.
Setakat ini 85 petugas Tabung Haji berada di Madinah untuk menjalankan kerja-kerja persiapan bagi menyambut jemaah haji Malaysia.

Laporan Hafizah Kamaruddin
-- BERNAMA  

No comments:

Post a Comment