Tuesday 5 August 2014

Kerajaan Terengganu Bantu Ali Jalani Rawatan Pakar

Foto BERNAMA


Kerajaan negeri Terengganu sedia membantu bekas pengarang Bernama, Ali Mamat menjalani rawatan pakar untuk pelbagai penyakit kronik yang dialaminya.
Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata langkah itu bagi meringankan beban Ali, 63, yang mempunyai dua anak yang masih bersekolah.
"Kita minta Pegawai Pembangunan Dungun (PPD) Datuk Din Adam melihat apa yang boleh dibantu bagi meringankan beban keluarganya. Saya telah arahkan sekumpulan pakar perubatan mengunjungi rumah Ali esok untuk mendapatkan pandangan bagaimana kerajaan negeri boleh membantunya dari segi perubatan.
"Kalau Ali boleh dirawat di Terengganu, kita rawat di sini dan kalau ada pakar yang boleh merawat Ali di luar Terengganu, kita akan membantunya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menziarahi dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada Ali di rumahnya di Kampung Bukit Catak, Dungun petang ini.
Turut hadir Din dan Presiden Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) Ayob Mamat.
Ali yang menghidap pelbagai penyakit seperti barah hati, darah tinggi, kencing manis dan pendarahan kecil pada otaknya, sering mendapatkan rawatan di hospital.
Ali berkata beliau berterima kasih dan menghargai sumbangan peribadi Menteri Besar Terengganu yang meluangkan masa menziarahinya.
Ali yang ditemani kedua-dua isterinya iaitu Maimu Yahaya, 55 dan Aini Abdullah, 40, kini sukar bertutur berikutan penyakitnya itu.
Selepas bersara pada Februari 2007, Ali berpindah ke kampung halamannya di Dungun.
Penderitaan Ali, yang pernah menjadi Ketua Biro Bernama Terengganu, turut mendapat perhatian KAWAT serta Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC).
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment