Thursday 17 July 2014

Untukmu Marissa Hani...




Dilahirkan pada 3 Ogos 2013, Marissa Hani Mohammed Zubir merupakan anak ketiga Nazellynakmar Kamarudin, petugas di Jabatan Pengarang Bernama.
Selepas empat hari dilahirkan, Marissa Hani  didapati tidak sihat dan disahkan mengidap penyakit Severe Combined Immunodeficiency (SCID) di mana sistem imun badannya amat rendah.
Rawatan muktamad untuk penyakit ini adalah pemindahan sum-sum tulang.
Bagi meringankan beban kewangan Nazellynakmar dan keluarga, Tabung Adik Marissa Hani dilancarkan di Wisma Bernama hari ini.
Pelancaran dilakukan oleh Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh selepas sidang media Kerjasama Bernama-ANTARA yang turut dihadiri Timbalan Duta Besar Indonesia, Hermono.  
"Apabila dimaklumkan mengenai masalah yang dihadapi, kami terpanggil untuk membantu adik ini menggunakan sumber-sumber yang ada di Bernama.
"Atas dasar itu kita lancarkan tabung ini dan berharap selain menghulurkan bantuan, orang ramai juga dapat mempelajari sesuatu tentang penyakit ini," kata Zulkefli.
Nazellynakmar berkata beliau dan keluarga sedang menunggu arahan doktor untuk melakukan pembedahan berkenaan.
“Saya dimaklumkan dalam bulan Ogos ini…pemindahan sum-sum akan dilakukan di Hospital Kuala Lumpur.
“Segala kos ditanggung oleh HKL manakala kos selepas pembedahan ditanggung oleh keluarga.
“Harapan saya sebagai ibu, sama-samalah kita berdoa agar pemindahan ini berjaya, semoga badannya dapat menerima sum-sum saya,” katanya.
“Saya sentiasa berdoa agar dia dipanjangkan umur dan dapat membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.  
Sambil berterima kasih kepada mereka yang memberikan sumbangan, beliau berkata sumbangan itu bagi menampung keperluan kos rawatan, kos semasa dan kos rawatan susulan untuk Marissa Hani.
Selain Tabung, sumbangan boleh dihantar ke akaun Maybank bernombor 164810145966 atas nama Nazellynakmar Kamaruddin atau Marissa Hani binti Mohammed Zubir.

No comments:

Post a Comment