Thursday 24 July 2014

Sentiasa dalam ingatan…



Walaupun sudah lebih 10 tahun bersara namun perasaan sayang Haji Mat Noor Kasah terhadap Bernama masih mendalam.
“Saya tak boleh lupa…dua, tiga tahun saya mesti datang ke Bernama,
“Walaupun sakit saya tetap datang nak tengok kawan-kawan,” kata bekas petugas di bahagian teleprinter itu.
Kebanyakan “kawan-kawan” baginya adalah mereka yang  berkhidmat bersama-samanya sejak “zaman MCOBA”.
“Itulah saya terkejut dengar berita mengenai Thomas…saya kenal sangat dengan mendiang sejak dia masuk kerja di Bernama.
“Sekarang dengar pula pasal Ali Mamat…rasa-rasa nak pergi melawat dia,” kata Haji Mat Noor yang menetap di Bandar Baharu Sungai Buluh.
Beliau begitu risau apabila mengetahui Ali, bekas editor Bernama, menghidap barah hati dan dirawat di Hospital Sultanah Zahirah di Kuala Terengganu.
Haji Mat Noor bersara pada 20 Mac 2003 setelah berkhidmat selama 22 tahun dengan Bernama. Sebelum itu, beliau bekerja dengan akhbar Utusan Melayu selama 15 tahun.
“Saya baru 67…bulan Mac tahun depan, insyaAllah 68,” kata Haji Mat Noor, yang terkenal dengan gelak ketawanya..
Menurutnya, antara kenangan manis semasa berkhidmat dengan Bernama ialah ketika Pilihanraya Umum 1982.
“Masa itu boleh dikatakan saya baru di Bernama dan memang seronok bertugas masa pilihan raya tu.
“Saya sendiripun tak tidur dari time masuk kerja pukul 8 malam sampai 1 tengah hari keesokannya.
“Masing-masing nak tahu keputusan yang dihantar kepada pelanggan melalui teleprinter,” katanya.
Setelah terdiam dan merenung seketika, beliau berkata:“Sekarang budak-budak muda tak tahu lagi apa teleprinter sedangkan tape teleprinter diabadikan dalam logo Bernama.”
Haji Mat Noor dan isteri Hajah Aminah Abdullah, 65, mempunyai empat anak dan lapan cucu setelah mendirikan rumahtangga 42 tahun lepas.
Sempena Aidilfitri, beliau mengucapkan selamat hari raya kepada rakan-rakan dengan harapan “maaf zahir batin”.

No comments:

Post a Comment