Tuesday 29 July 2014

Ketupat dan rendang hidangan Aidilfitri di New York...

Nani sekeluarga di New York City


Masyarakat Malaysia di kota raya New York menyambut 1 Syawal pada Isnin dengan berkumpul di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menunaikan solat sunat hari raya serta mendengar khutbah.
Wakil Bernama di New York, Nani Rahayu Yusof berkata selepas solat, majlis rumah terbuka anjuran pejabat itu serta pejabat konsulat Malaysia di New York diadakan.
Pelbagai hidangan disediakan secara gotong royong oleh anggota Perwakilan (kumpulan isteri-isteri Kementerian Luar Negara) New York.
Antaranya ketupat, rendang, satay, nasi minyak, mi rebus, laksa serta kuih tradisional dan kuih-kuih raya.
Dewan Utama pejabat berkenaan dihias indah dengan gantungan ketupat-ketupat besar dan kecil yang diperbuat daripada reben. 
Suasana tidak ubah sambutan lebaran di tanah air.
Lebih 300 tetamu hadir termasuk duta-duta dari negara Asean, rakyat Malaysia yang tinggal serta bekerja di sekitar bandaraya itu dan keluarga mereka.
Pada majlis itu Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Hussein Hanif turut menyampaikan duit raya dan bungkusan raya kepada kanak-kanak yang hadir.
Beliau berkata dalam kesibukan berhari raya, ingatan terhadap nahas pesawat Penerbangan Malaysia MH17 dan penduduk di Gaza tidak pernah luntur.
"Kita mendoakan anggota keluarga MH17 tabah menghadapi ujian ini dan mereka di Gaza boleh merayakan sambutan Aidilfitri" katanya kepada Bernama selepas majlis rumah terbuka itu.
Beliau dan pasukannya bekerja keras pada Persidangan Majlis Keselamatan PBB berkaitan kedua-dua isu dalam usaha menyuarakan pendirian dan pandangan negara di badan dunia itu.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment