Sunday 27 July 2014

Jasa “Pok Him” dihargai…



Wartawan veteran sambilan Biro Bernama Terengganu, Ibrahim Abu Bakar, 72, menerima Anugerah Khas Menteri Besar sebagai menghargai jasanya lebih setengah abad dalam dunia kewartawanan.
Anugerah berupa wang tunai dan al-Quran digital serta plak penghargaan disampaikan Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abd Rahman pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media Terengganu anjuran Pejabat Menteri Besar Terengganu, malam tadi.
Lebih mesra dipanggil Pok Him, beliau yang merupakan pemberita sambilan di Biro Bernama Terengganu sejak tahun 1972 menganggap anugerah khas itu sebagai penghargaan yang cukup bermakna sepanjang kariernya.
Ibrahim berkata anugerah itu menyuntik semangatnya untuk terus menghasilkan berita yang berkualiti dan menabur bakti selagi masih mempunyai kudrat.
"Ini merupakan kali pertama saya diberi penghargaan sebegini dan saya berterima kasih kepada rakan-rakan sekerja yang banyak membantu saya sehingga kini.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri di atas anugerah ini serta Bernama yang masih memberi peluang kepada saya untuk menghasilkan berita walaupun saya sudah di usia emas," katanya.
Mula berjinak dalam penulisan ketika merantau ke Singapura pada awal 60-an dan menceburi dunia wartawan dalam industri hiburan di sebuah majalah di republik itu.
Namun selepas beberapa ketika, beliau yang merindui kampung halaman kemudiannya membuat keputusan pulang sebelum menyertai Bernama sehinggalah kini.
"Alhamdulillah, Allah masih beri pok kesihatan serta pendengaran dan penglihatan yang baik maka selagi itulah pok akan terus menghasilkan artikel untuk tatapan masyarakat kerana kalau duduk di rumah sesaja, pok jadi bosan," katanya yang terkenal dengan menaip dengan laju dan tepat tanpa memandang papan kekunci.
Anak kelahiran Kampung Ladang, di Kuala Terengganu itu berkata sepanjang berkhidmat di negeri itu, beliau telah bekerja di bawah tujuh Ketua Biro dengan enam kepimpinan Menteri Besar Terengganu.
Bapa kepada lapan cahaya mata dan 11 cucu ini berkata adalah menjadi satu kepuasan bagi dirinya apabila setiap kali melihat berita yang dihasilkannya dijadikan sebagai bahan maklumat oleh masyarakat.
"Walaupun telah lama dalam bidang ini, namun saya sedikit pun tidak jemu malahan semakin bersemangat untuk menulis kerana itu adalah minat saya sejak di bangku sekolah.
"Sekarang ini ramai wartawan muda kelulusan universiti namun itu bukanlah satu halangan untuk saya bersaing dengan wartawan muda," katanya yang lebih memfokuskan penulisan berita-berita sukan dan umum untuk Bernama.
Beliau turut mengingatkan pengamal media khususnya orang baharu agar jangan sesekali mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sehingga mencemarkan imej seorang wartawan.
Sementara itu, Ketua Biro Bernama Amrizan Madian berkata walaupun usia Pok Him telah diambang senja, namun Pok Him masih gigih menerusi caranya menghubungi pengarah jabatan yang sememang rakannya untuk menghasilkan berita khususnya berita sukan dan berita eksklusif.
"Pok Him ada caranya tersendiri dan saban hari datang ke pejabat dengan motor Vespa hijaunya. Saya mewakili biro Terengganu sangat menghargai jasa, pengorbanan dan komitmen yang beliau tunjukkan setiap kali menulis berita," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment