Monday 28 July 2014

Penghargaan menteri untuk pasukan media Malaysia...

Foto BERNAMA


Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merakamkan penghargaan kepada pasukan media Malaysia yang tabah membuat liputan nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Kesanggupan mereka menyahut cabaran itu tanpa dipaksa menunjukkan sikap professional mereka yang tinggi, katanya ketika ditemubual Bernama Radio24 dalam kunjungannya ke Wisma Bernama sempena Hari Raya Aidilfitri hari ini.
Ketua Meja Jenayah Bernama Mohd Razman Abdullah dan jurufoto Zulkarnain Kamaruddin adalah antara tujuh wakil media dalam delegasi Pasukan Siasatan Dan Pengurusan Pasca Tragedi itu yang berlepas ke Kiev, Ukraine dengan penerbangan khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 18 Julai lepas. Lima yang lain dari Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) serta Jabatan Penerangan.
Razman dan Zulkarnain, yang pada mulanya dijadual pulang dari Kiev pada 25 Julai,  kini berada di Belanda setelah misi pasukan itu diteruskan ke negara berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual berlepas ke Belanda pada hari Rabu ini untuk berbincang dengan rakan sejawatannya Mark Rutte di The Hague mengenai tragedi MH17 yang terhempas di Ukraine. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh pada 17 Julai.
Foto BERNAMA
Foto BERNAMA
Menurut Razman, suasana sambutan Aidilfitri di Kedutaan Besar Malaysia di The Hague boleh digambarkan sebagai suram.
Tiada lagu 'Hari Raya' atau hiasan yang menunjukkan ada sambutan perayaan kecuali solat sunat Aidilfitri.
"Aidifitri di sini disambut dalam suasana sugul sebagai menghormati tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17," kata Duta Besar Malaysia ke Belanda Datuk Dr Fauziah Mohamad Taib..
Solat sunat Aidilfitri diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Putrajaya Abdul Manaf Mat yang menyertai misi pasukan pasca tragedi itu.
Dalam temubual itu, Ahmad Shabery berkata pembatalan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2014 anjuran jemaah menteri dan kebanyakan negeri susulan tragedi MH17 dan MH370, menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa Malaysia sedang berduka.
Keputusan membatalkan majlis yang sinonim dengan sambutan perayaan di Malaysia itu dilihat tindakan wajar sebagai menghormati penumpang dan anak kapal kedua-dua penerbangan serta keluarga mereka.
"Kita nak memberitahu dunia bahawa orang Malaysia berduka, orang Malaysia bersedih," katanya.
Penerbangan MH17, dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.
Pesawat Boeing 777-200 itu, yang membawa 298 orang iaitu 283 penumpang dan 15 anak kapal, dipercayai ditembak jatuh namun setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan tindakan kejam itu.

No comments:

Post a Comment