Wednesday 23 July 2014

Jangan Cemarkan Kemeriahan Sambutan Aidilfitri ...


Oleh: Ridzuan Mohd Ghazali
Tinggal beberapa hari sahaja lagi, umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut ketibaan Syawal setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan. Hari Raya Aidilfitri dikurniakan sebagai tanda kemenangan kita menundukkan hawa nafsu serta mendidik diri agar menjadi insan bertakwa.
Benarkah kita benar-benar menang?
Persoalan ini dapat dirungkai dengan melihat corak pembelanjaan kita menjelangnya tiba hari raya. Kita dapat lihat di merata tempat terutamanya gedung membeli-belah, pasaraya terkemuka, hatta pasar malam sekalipun sekarang ini dipenuhi dengan lautan manusia. Masing-masing teruja untuk membeli pakaian baharu agar kelihatan segak atau menawan di hari raya nanti.
Tidak salah untuk kita berbelanja. Namun, janganlah boros pula. Lebih-lebih lagi, ramai orang kurang bernasib baik yang memerlukan perhatian dan simpati daripada kita. Hulurkan bantuan, ringankan beban. Semoga kemeriahan Aidilfitri dapat dirasai oleh semua umat Islam tanpa mengenal pangkat, darjat mahupun paras rupa.
Semua orang mahu bergembira di hari raya. Justeru, jangan cemarkan kemeriahan sambutan Aidilfitri anda dengan perkara-perkara yang tidak diingini.
Periksa Kenderaan
Sudah periksa kenderaan anda? Tayar berada dalam keadaan yang baik? Minyak hitam hampir kering? Semua itu amat penting untuk diperiksa sebelum anda memulakan perjalanan balik ke kampung.
Mungkin anda merasakan pemanduan anda lancar sahaja tanpa sebarang masalah. Tetapi itu bukan jaminan bahawa kenderaan anda sudah cukup selamat untuk dibawa. Anda masih perlu membuat pemeriksaan menyeluruh. Lebih bagus sekiranya kenderaan anda dibawa ke pusat servis.
Kurangkan risiko kemalangan. Jangan biarkan diri anda menyumbang kepada peningkatan angka korban di musim perayaan. Ingatlah bahawa ada insan tersayang yang sedang menanti kepulangan anda.
 Suis Eletrik Sudah Tutup?
Anda bakal meninggalkan rumah anda dalam jangka masa yang agak lama. Jadi, pastikan semua peralatan eletronik sudah dimatikan dan plugnya dicabut daripada soket. Ini dapat mengelakkan daripada kejadian litar pintas yang boleh mengakibatkan kebakaran.
Selain itu, anda hendaklah menutup tabung gas memasak selepas menggunakannya. Dikhuatiri berlakunya kebocoran gas, api mudah marak dengan cepat lalu memusnahkan segalanya. Jangan ternganga sekiranya apabila anda pulang semula ke rumah nanti, hanya tapak rumah sahaja yang tinggal. Yang lain semuanya sudah menjadi abu.
Simpanlah Gadjet Buat Sementara
Gadjet bukan lagi satu kegilaan bagi golongan muda sahaja. Kini, semua orang memiliki gadjet masing-masing bagi tujuan yang berbeza. Salah satunya sudah tentulah untuk melayari internet dan laman sosial. Yang jauh dapat didekatkan. Tetapi yang sudah dekat, mengapa semakin jauh pula?
Inilah realiti yang berlaku dewasa ini. Kemeriahan sanak saudara berkumpul di hari raya terbantut dek keasyikan bermain gadjet. Jarang kedengaran gelak tawa dan perbualan mesra kerana masing-masing lebih seronok melayan rakan-rakan di alam maya berbanding sesama saudara yang berada di hadapan mata.
Hari raya, hari yang mulia. Penulis nasihatkan agar kita semua simpanlah gadjet kita itu buat seketika. Tidak ada yang ruginya sekiranya kita berenggang dengan rakan-rakan di laman sosial semasa lebaran ini. Bukankah kita ada ahli keluarga dan sanak saudara? Mereka lebih penting!
Jangan Letak Barang Berharga Merata-rata
Di hari lebaran, tentu ramai saudara-mara, sahabat handai dan kenalan terdekat yang bertandang ke rumah. Oleh itu, jagalah harta peribadi anda sebaik mungkin. Jangan letak barang berharga di merata-rata tempat. Sekiranya berlaku kehilangan harta benda, tentu keseronokan hari raya anda terganggu. Tidak semena-mena ada yang dituduh mencuri pula. 
Mungkin juga kita sudah terbiasa dengan tabiat meletakkan telefon bimbit di atas meja. Faham-faham sajalah, meja makan tentunya penuh dengan pelbagai hidangan makanan raya bagi menjamu tetamu yang hadir. Jangan biarkan telefon bimbit anda menjadi mangsa air tertumpah. Kelak nanti air mata anda akan turut tumpah bersama.
Harta anda, tanggungjawab anda.
Ziarah Saudara, Bukan Bertapa
Luangkanlah hari penuh bermakna ini dengan menziarahi rumah saudara mara anda. Hulurkan senyuman dan tunjukkan wajah yang ceria. Sekalipun ada masalah keliling pinggang, lupakan segala itu buat seketika. Bak kata orang, senyuman yang menyembunyikan seribu kedukaan.
Selain itu, ajak sekali anak-anak anda pergi berziarah. Jangan biarkan mereka asyik menonton rancangan menarik di kaca televisyen. Ajar mereka untuk bergaul dan bermesra sesama ahli keluarga dan jiran tetangga.
Apabila berdepan dengan kanak-kanak pula, hulurkanlah duit raya bagi menggembirakan mereka. Usah bersikap kedekut di hari raya ini. Hari raya hanya disambut setahun sekali. Raikanlah dengan hati yang ikhlas dan penuh kesyukuran.

No comments:

Post a Comment