Monday 21 July 2014

Puasa Bukan Untuk Pamer Kehebatan – IM Asyraf


“Hakikat puasa itu meletihkan.” Begitulah apa yang ditekankan oleh Imam Muda Asyraf Ridzuan dalam ceramahnya “Berlapar & Menangis Itu Nikmat” di Pusat Kecemerlangan Bernama pagi ini.
Juara Program Realiti Imam Muda Astro Oasis Musim Pertama itu menegaskan bahawa berpuasa di bulan Ramadan bukan untuk menunjukkan kekuatan fizikal, akan tetapi kekuatan individu melawan bisikan nafsu dalam diri.
“Semua orang yang berpuasa itu akan berasa letih. Itu adalah fitrah,” tambahnya.
Beliau turut menceritakan kisah di zaman baginda Rasulullah SAW semasa peperangan di bulan Ramadan. Baginda membenarkan umat Islam yang keletihan dalam peperangan untuk berbuka puasa.
Imam Muda Asyraf turut menggalakkan umat Islam membaca doa sebelum berbuka puasa. “Sesungguhnya, Allah dekat dengan orang yang lapar. Sebab itulah, doa orang yang hendak berbuka puasa dimakbulkan,” ujarnya kepada lebih 60 orang petugas Bernama yang menghadiri program berkenaan.
Bila akan berlakunya Lailatul Qadar adalah satu rahsia Allah SWT. Namun menurut riwayat hadis, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir Ramadan.
Justeru, Imam Muda Asyraf meminta agar orang ramai memanfaatkan peluang dalam beberapa hari di bulan Ramadan yang masih berbaki ini untuk meminta keampunan dan bertaubat atas kesilapan yang lalu.
Menurutnya lagi, Allah berhak untuk memasukkan hamba-Nya ke dalam syurga atas rahmat-Nya. Jadi, walaupun kita merasakan diri kita telah banyak berbuat dosa, percayalah bahawa rahmat Allah itu sangat luas bagi hamba-hamba-Nya yang bertaubat.



Ridzuan Mohd Ghazali
Pusat Kecemerlangan, BERNAMA


No comments:

Post a Comment