Friday 4 July 2014

Lega perhimpunan berjaya ...


Lega Pengurus Komunikasi Korporat Puan Zarina Rozali kerana Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang dihoskan Bernama semalam berjalan lancar.
“Selesai satu bab, kita bersedia untuk bab lain,” katanya pagi ini.
Persiapan untuk menganjurkan majlis itu mencabar kerana ia dimaklumkan hanya dalam masa seminggu.
Mesyuarat penyelarasan dengan pihak kementerian serta Jabatan Penerangan diadakan untuk membincangkan antara lain mengenai tempat,  sistem siaraya dan koir.
“Terima kasih kepada semua yang menjayakan majlis itu,” kata Zarina.
Beliau mengambil peluang daripada tanggungjawab yang diberikan kepada Bernama itu untuk menampilkan petugas-petugas baru bagi berganding bahu dengan petugas lama.
“Ramai staff  baru kita libatkan sama untuk tugas menjadi penyambut tetamu,” katanya.
Majlis perhimpunan yang diadakan di Dewan Serbaguna, Aras B1, KKMM itu disusuli Majlis Berbuka Puasa di Anjung KKMM.
Selain nyanyian lagu ‘NegaraKu” dan Perkhidmatan Awam, perhimpunan itu diisi dengan tayangan klip video sorotan aktiviti KKMM bagi bulan Mei dan Jun lepas serta amanat menteri Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
“Kita adakan live streaming ucapan menteri yang boleh disaksikan di seluruh dunia melalui portal kita. Inilah antara keistimewaan yang kita ketengahkan memandangkan kita telah berjaya melakukan live streaming semasa Menteri Penerangan Oman melawat Bernama April lepas,” katanya.
Seramai 40 orang yang menyambut hari lahir pada bulan Jun dan Julai juga ‘naik pentas’ untuk menerima cenderahati daripada Datuk Seri Ahmad Shabery.
Timbalan menteri Datuk Jailani Johari serta Ketua Setiausahaha KKMM Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi turut hadir.
Dalam ucapannya, Ahmad Shabery berkata warga kementerian perlu bijak dan mampu berkomunikasi dengan lebih berkesan.
"Apalah erti sebagai kementerian komunikasi jika tidak mampu berkomunikasi dengan berkesan dan jika itu berlaku, ia boleh dianggap satu kegagalan," katanya.
Beliau juga berkata kementerian perlu berupaya memberi idea baharu dan bertindak sebagai penggerak komunikasi agar ia dapat dihebah serta diterjemah dengan lebih berkesan.
Ahmad Shabery merakamkan penghargaan kepada Bernama kerana menjadi hos perhimpunan bulanan itu yang dipertanggungjawabkan secara bergilir-gilir di kalangan agensi dan jabatan di bawah KKMM.

No comments:

Post a Comment