Thursday 17 July 2014

AKRAB Bernama sedia berkhidmat...


AKRAB Bernama hari ini melancarkan laman webnya untuk memaparkan kegiatannya sekaligus menarik penyertaan warga Bernama.
Laman web – akrab.bernama.com – itu memuatkan segala aktiviti dan penerangan mengenai matlamat korporat, misi, visi, objektif serta peranan AKRAB atau nama penuhnya Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam.
Laman web itu dilancarkan Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong, yang juga penaung AKRAB Bernama.
“Saya pun nampak berseri kerana baju yang cantik,” kata Datuk Yong yang memakai baju biru seragam AKRAB Bernama.
“Tapi harap bukan sahaja baju yang cantik tetapi kita dapat memberikan perkhidmatan yang berguna kepada kakitangan Bernama,” katanya pada majlis pelancaran di Pusat Kecemerlangan di tingkat 12, Wisma Bernama.
Beliau menyebut mengenai Mesyuarat Pengurusan Tertinggi kementerian semalam di mana beliau berasa bangga sebagai Pengurus Besar Bernama kerana “tidak ada seorang pun kakitangan Bernama dalam senarai kakitangan kementerian yang mempunyai potongan lebih 60 peratus daripada gaji mereka.”
Beliau memuji “penjaga kewangan” Bernama yang menetapkan had pinjaman kakitangan tidak boleh melebihi 35 peratus daripada gaji dan ini dapat mengelakkan mereka daripada “masuk perangkap hutang”.
“When you have monetary problem, every time the phone rings, you think that’s Along…so let’s not get into that situation.
“Kita mungkin boleh cari jalan dengan mengadakan tabung khas untuk membantu mereka yang bermasalah, kalau tidak, kita khuatir mereka nak keluar rumah pun takut diserang oleh Along.
“Saya tak tahu sekiranya ada kakitangan Bernama yang berada dalam dilemma seperti ini,” katanya.
Beliau berharap kegiatan AKRAB Bernama diwar-warkan untuk menarik perhatian kakitangan Bernama mendapatkan bimbingan dan nasihat bagi mengatasi masalah mereka.
“Baru-baru ini integriti Bernama dipersoal…this dark episode is a big lesson for us,” katanya merujuk kepada isu plagiat membabitkan seorang pewarta Bernama.
Bagi mengelakkan perkara itu berulang, unit latihan perlu memberikan latihan secukupnya kepada para petugas editorial.
Beliau berkata Bernama telah membuktikan keupayaan untuk bersinar apabila Perdana Menteri baru-baru ini memuji sebuah rencana Bernama mengenai kisah sebuah wad hospital yang mencerminkan semangat 1Malaysia.
Seorang wartawan Bernama juga baru-baru ini mengharumkan nama negara apabila memenangi peraduan penulisan anjuran kerajaan Kazakhstan.
“Kita juga membuktikan kepada Jabatan Kastam keupayaan kita menganjurkan persidangan GST…kita harus menggunakan kejayaan-kejayaan ini untuk terus meningkat.
“Jangan rasa pesimistik, bila rasa pesimistik, carilah ahli AKRAB…” kata Datuk Yong.   
Ceramah kesedaran mengenai AKRAB turut diadakan sempena pelancaran laman web itu.

No comments:

Post a Comment