Saturday 26 July 2014

Kemeriahan balik kampung...



Kesesakan jalan raya menjadi lumrah dalam keriangan ‘baik kampung’ untuk berhari Raya.
Pelbagai usaha dibuat oleh pihak berkenaan untuk mengelakkan kemalangan jalan raya serta melancarkan perjalanan.
Dalam suasana begini, organisasi media termasuk Bernama melaksanakan tanggungjawab membantu pihak berkuasa dan industri menyalurkan maklumat berkaitan.
Kebanyakan penghuni kota pula bergantung kepada media untuk memberikan panduan dan maklumat terkini mengenai perjalanan ke destinasi mereka.   
Namun dalam keghairahan orang ramai mendapatkan maklumat, ada manusia yang nakal menggunakan media sosial untuk menyalurkan perkara palsu.
Entah apa tujuannya hanya mereka yang tahu.
Dalam hubungan ini, tindakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu meletakkan kepercayaan kepada Bernama untuk menghebahkan maklumat sebenar amat dihargai.   
Ia mencerminkan keyakinan terhadap Bernama untuk menyalurkan maklumat dengan pantas dan sampai kepada pelbagai sasaran terutama orang ramai.
Jabatan itu memaklumkan malam ini bahawa Jalan Jerangau-Jabor boleh dilalui seperti biasa dan tidak terputus sebagaimana dilaporkan media sosial.
Pengarahnya, Datuk Shafii Mohamad berkata polis dan peronda pemegang konsesi laluan itu memaklumkan kepada beliau bahawa tiada kejadian pembentung runtuh di jalan berkenaan.
Beliau mengulas catatan satu Twitter sekitar 7 malam ini yang menyatakan bahawa jalan itu terputus dan pengguna dinasihat berpatah balik menggunakan laluan lain seperti Jalan Kuantan-Kuala Terengganu (Jalan Pantai).
Ini menyebabkan pengguna laluan itu beralih ke Jalan Pantai sehingga menyebabkan kesesakan teruk.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihati orang ramai berhati-hati ketika memandu pulang berhari raya di kampung masing-masing.
"Hati-hatilah ketika memandu pulang ke kampung masing-masing. Ambil kesempatan ini untuk luangkan masa bersama yang tersayang," kata beliau dalam laman twitternya hari ini.
Puluhan ribu warga kota meninggalkan bandar raya sejak semalam dengan memenuhi segenap lebuh raya dan jalan persekutuan untuk pulang berhari raya bersama keluarga.
Tarikh melihat anak bulan Syawal untuk menetapkan Aidilfitri ialah pada petang esok bersamaan 29 Ramadan.
 





No comments:

Post a Comment