Wednesday 2 July 2014

Kawat Bantu Bekas Editor Bernama Yang Menghidap Barah Hati

Foto Teganukita

Penderitaan bekas editor Bernama, Ali Mamat yang menghidap barah hati hari ini mendapat perhatian dan simpati Kelab Wartawan Terengganu (Kawat).
Presiden Kawat, Ayob Mamat ketika ditemui semasa menyerahkan kerusi roda kepada Ali, berkata beliau dan anggota Kawat sangat bersimpati di atas penyakit yang dialami Ali dan pihaknya akan mencuba membantunya sebaik mungkin.
"Saya mendapat tahu Ali menghidap banyak penyakit. Beliau juga mengidap kencing manis, darah tinggi dan pendarahan kecil di otaknya.
"Pada minggu lepas beliau dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu bagi mendapat rawatan setelah diserang angin ahmar ringan," katanya.
Sementara itu, Ali, 63, berkata beliau berterima kasih dan menghargai sumbangan Kawat.
Beliau adalah antara pengasas dan bekas Presiden Kawat selama sembilan tahun sekitar 80-an.
Ali yang bersara daripada dunia kewartawanan pada Februari 2007 kini perlu dipapah untuk bergerak, oleh itu sangat memerlukan kerusi roda.
Dalam perkembangan lain, Ayub berkata Kawat berhasrat menubuhkan Yayasan Kebajikan Wartawan Malaysia yang bertujuan membantu rakan media yang ditimpa kesusahan bukan sahaja di Terengganu malah di seluruh negara.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment