Monday 7 July 2014

Tulis perkara yang benar ...


Seseorang pemberita wajib menyampaikan perkara yang benar tanpa mengharapkan berita itu disukai atau sebaliknya, kata penceramah bebas Mohd Hassan Adli Yahaya.
Beliau, yang lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan berkata sebagai petugas yang diamanahkan, pemberita perlu berhati-hati ketika 'menyampaikan' percakapan orang lain dengan memastikan setiap ayat yang ditulis datang daripada individu berkenaan.
"Apabila ia dikaitkan dengan soal menyakiti hati orang lain, itu kita kena lihat dari beberapa sudut iaitu menyakiti kerana apa atau sebab apa memandangkan perkara menyakiti itu adalah sangat subjektif.
"...yang pasti, tugas kita ialah menyampaikan apa yang benar, penerimaan orang sama ada mereka suka atau tidak itu cerita lain," katanya semasa menyampaikan ceramah "Ramadan: Lulus atau Gagal" anjuran Pusat Kecemerlangan Bernama hari ini.



Beliau mengupas mengenai apakah 'habuan' yang bakal diterima pemberita apabila menulis dan menyampaikan sesuatu maklumat hasil daripada kenyataan seseorang sedangkan berita itu menyakitkan hati orang lain.
Memetik sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang berhadapan pelbagai cabaran ketika berdakwah, juara rancangan realiti televisyen Imam Muda Musim Kedua itu berkata walaupun masyarakat ketika itu tahu kebenaran berita yang dibawa, namun mereka tetap tidak menyukai dengan apa yang disampaikan baginda.
"Begitu juga dengan kita, tugas kita menyampaikan dan itu arahan...sama ada orang suka atau tidak itu terpulang dan kita tetap perlu menyampaikan. Yang penting kita menyampaikan apa yang sebenarnya," katanya.
Berhubung lulus atau gagalnya puasa seseorang, Hassan berkata perkara utama yang perlu difahami ialah objektif Ramadan, iaitu untuk menjadikan setiap individu muslim sebagai insan yang bertakwa kepada Allah SWT.
Katanya ukuran orang bertakwa ialah selepas berakhirnya Ramadan mereka akan bertambah takut kepada Allah SWT, beramal dengan isi kandungan al-Quran dan Sunnah, merasa reda dan cukup dengan harta yang sedikit dan sentiasa mempersiapkan diri untuk bertemu Allah SWT.
Jadi, indikasi kepada lulus atau gagalnya puasa seseorang itu boleh di lihat dengan jelas melalui peningkatan ketakwaan mereka kepada Allah SWT atau kekal seperti sebelumnya, kata beliau.
-- BERNAMA


(Foto oleh Ridzuan Mohd Ghazali) 

No comments:

Post a Comment