Sunday 13 July 2014

Bergelumang dengan buku….



Berkenalan mereka yang bergelumang dengan buku menjadi pengalaman baru yang menyeronokkan bagi wartawan Lizawati Bahanan.
Kesempatan bertemu penulis dan penerbit buku itu diperolehinya semasa membuat liputan Pesta Buku Antarabangsa Tokyo ke-21 (PBAT21) dari 2 hingga 5 Julai lepas.
Sebanyak 20 syarikat Malaysia yang membawa 1,500 judul buku menyertai pesta tahunan itu di Tokyo Big Sight.
“Kesabaran mereka untuk menghasilkan buku-buku yang menarik khususnya untuk pendidikan…kesungguhan mereka bersaing dengan penerbit luar yang lebih ke depan dan maju amat mengagumkan.
“Sekarang semua dah guna e-book dan penerbit Malaysiapun ke arah itu serta pengalaman macam mana pelukis-pelukis nak jual hasil mereka kepada penerbit
menarik perhatian saya,” kata Lizawati yang menyertai delegasi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) ke pesta itu.
Pengalaman paling manis dan tidak disangkanya ialah minat mendalam orang Jepun terhadap budaya Malaysia.
“Setiap kali ada show di Pavilion Malaysia mesti penuh dengan orang Jepun..bila tanya, mereka kata mereka suka sebab ada persamaan dari aspek kehalusan seni,” kataya.
Konsep santai yang menonjolkan keindahan dan keunikan seni serta budaya negara diketengahkan oleh Malaysia pada PBAT21.
Wayang kulit dan Makyung menjadi persembahan pembukaan di Pavilion Malaysia setiap hari pada PBAT21. Dua hasil seni itu dipilih kerana mendapat pengiktirafan Unesco sebagai hasil seni visual milik Malaysia.
Pelbagai aktiviti melibatkan sasterawan, penulis dan penggerak seni negara juga diadakan di Pavilion Malaysia.
Menurut Lizawati, ada penerbit Malaysia yang telah mengadakan kerjasama dengan Centre for Intergrated Asia Studies (CIAS) Universiti Kyoto untuk memperkenalkan tulisan Jawi  kepada masyarakat Jepun.
“Buku-buku puisi kitapun diterbitkan dalam tulisan Jepun untuk pasaran sana…komik kartun  Datuk Lat dah masuk edisi kedua diterjemah ke dalam bahasa Jepun,” kata Lizawati yang sedang menyiapkan rencana hasil lawatan itu.
Apa pengajaran yang beliau perolehi?
“Banyak juga…pertamanya kalau mengenai pesta buku tu kita perlu banyak membaca dan suka dengan buku sebab selagi kita baca selagi itu ada ruang kosong
“Kita kena menghargai setiap manuskrip atau apa sahaja bahan bacaan sebab daripada situ banyak yang kita boleh pelajari khususnya budaya dan resam sesuatu masyarakat.
“Macam orang Jepun, mereka sanggup terjemahkan buku-buku tentang budaya Malaysia ke dalam bahasa Jepun semata-mata untuk tahu budaya kita yang ada persamaan sedikit sebanyak dengan budaya mereka
“Pengajaran yang paling penting ialah orang Jepun tidak mementingkan kuantiti tetapi kualiti.
“Contohnya kalau kita kat sini setiap kali ada pesta kita mesti target sampai ribu-ribu atau puluh ribu tapi kat sana tidak begitu... apa yang penting kepada mereka setiap orang yang datang dapat manfaat, balik dengan ada buku di tangan,” kata Lizawati, yang telah tujuh tahun berkhidmat di Pulau Pinang.
Tugasan di luar negara itu merupakan yang ketiga baginya  sejak menyertai Bernama pada tahun 2000.
Bagaimana berpuasa di Jepun?
“Seronok sebab tak panas sangat cuma puasa tu panjang sebab waktu subuh 2.41pagi, buka 7.04 petang,” katanya yang sempat menemubual seorang tukang masak warga Malaysia yang telah menetap di Jepun selama 27 tahun.
“Dia ada homestay kat sana dan baru buka restoran…dulu dia kerja dengan agensi pelancongan setelah pergi ke negara itu sorang-sorang dengan belanja sendiri,” kata Lizawati yang berhasrat menulis mengenainya menjelang Hari Raya.

No comments:

Post a Comment