Monday 7 July 2014

Plagiat kesalahan besar ...


Perbuatan memplagiat dalam penulisan berita merupakan kesalahan yang tidak boleh dimaafkan, kata Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh.
Setiap wartawan sewajibnya mengetahui dan faham mengenai perkara ini.
Beliau berkata Bernama memang melarang perbuatan memplagiat dalam penulisan oleh wartawannya kerana ia bertentangan dengan etika kewartawanan.
Sehubungan itu, Bernama memberi perhatian serius terhadap dakwaan wartawannya memplagiat dan akan menjalankan siasatan.
"Tindakan tegas disiplin akan diambil oleh Bernama sekiranya wartawan itu didapati bersalah," katanya.
Dalam pada itu, Bernama juga memandang berat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama agensi berita ini untuk menyebar berita palsu.
Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata Bernama mengesan satu berita palsu hari ini, kononnya dikeluarkan oleh Bernama mengenai peletakan jawatan Menteri Besar Selangor.
"Pihak kami telah segera menafikan berita tersebut melalui media sosial iaitu twitter dan portal berita Bernama sebaik mendapat maklumat tentang penyebaran berita tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kes seumpama itu bukan kali pertama berlaku malah terdapat beberapa kes penyebaran berita palsu yang menggunakan nama Bernama.
Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja menjejaskan kredibiliti Bernama, malah boleh menimbulkan kekecohan dalam kalangan masyarakat akibat daripada berita palsu.
Pejabat Menteri Besar Selangor turut mengeluarkan kenyataan menafikan tentang berita tersebut sebaik ia tersebar luas melalui media sosial.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment