Tuesday 8 July 2014

Bertimbang rasa di bulan puasa ...


Waktu berbuka puasa hampir tiba sedangkan barisan pelanggan yang beratur untuk membayar di kaunter pasar  raya itu masih panjang.
Namun wanita Melayu yang bertugas di kaunter berkenaan tetap tekun mengira harga barang-barang untuk dibayar oleh pelanggan.
Setelah seorang demi seorang pelanggan berlalu, tiba giliran seorang lelaki India yang menyedari waktu berbuka puasa telah masuk.
Beliau lalu bertanya pekerja wanita itu: “Awak tak buka puasa ke?”
Wanita itu hanya tersenyum sambil  mencapai barang yang dibeli oleh lelaki itu untuk dikira.
“Tak apa, saya boleh tunggu..awak buka puasa dahulu,” kata lelaki itu.
Kebetulan ketika itu lelaki Cina, yang berdiri di belakangnya, mengangguk dan turut meminta wanita itu berbuka puasa.
Ada pula pelanggan lain dalam barisan itu menghulurkan air kotak kepada pekerja kaunter tersebut.
Terharu dengan sikap para pelanggan berkenaan, pekerja wanita itu pun membongkok di  kaunter untuk membasahi tekak dengan minuman.
Setelah beberapa minit, beliau bangun untuk meneruskan kerja.
Ketika itu juga, lelaki India berkenaan terpandang mata wanita itu yang berair.   
“Inilah hikmah Ramadhan di negara kita…pekerja itu agaknya begitu tersentuh hati kerana mereka yang bukan Islam turut bertimbang-rasa terhadap orang Islam yang berpuasa,” kata Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh yang berkongsi cerita pada mesyuarat penyelarasan mingguan semalam. Cerita itu diterimanya menerusi WhatsApp.

No comments:

Post a Comment