Friday, 15 August 2014

Warisan Kita, Warisan Dunia ...



Sambutan Hari UNESCO Malaysia 2014 akan diadakan di Dataran Merdeka pada 18 dan 19 Oktober ini.
Tema sambutan kali ini ialah “Warisan Kita, Warisan Dunia”.
Ini merupakan sambutan kali keempat sejak dipekenalkan pada tahun 2011 sempena 50 tahun keanggotaan Malaysia dalam pertubuhan itu yang beribupejabat di Paris.
Selaras dengan tema sambutan, pameran tapak-tapak warisan serta bandaraya bersejarah yang terdapat di Malaysia dan diiktiraf oleh UNESCO  akan dipaparkan.
Ini meliputi Taman Negara Kinabalu di Sabah dan Taman Negara Mulu di Sarawak,  Lembah Lenggong di Perak serta Bandaraya Melaka dan Georgetown.
Penglibatan Malaysia dalam pelbagai aktiviti UNESCO atau nama penuhnya Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu akan juga dipamerkan.
Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Promosi dan Publisiti sempena sambutan itu diadakan di Bahagian Antarabangsa, Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya pagi ini. 
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan,  telah mencadangkan supaya sambutan itu diadakan bagi  menonjolkan  penglibatan aktif serta kejayaan Malaysia dalam UNESCO.
Sejak menjadi anggota UNESCO pada 16 Jun 1958, Malaysia telah menduduki lembaga eksekutifnya sebanyak lima kali -- 1978 hingga 1983, 1987-1991, 1999-2003 dan kali terakhir 2007 hingga 2011.
Ketika melawat ibupejabat UNESCO November lepas, Tan Sri Muhyiddin mengumumkan hasrat Malaysia untuk  bertanding kerusi tersebut bagi penggal 2015-2019.
Bagi Bernama, hubungan dengan UNESCO tidak dapat dipisahkan kerana ia mempunyai peranan besar dalam penubuhan agensi berita nasional ini.
Pada tahun 1962, UNESCO telah menjalankan kajian awal untuk menentukan sama ada negara ini memerlukan sebuah agensi berita ketika negara-negara membangun ketika itu menuntut pengaliran maklumat yang saksama dengan negara-negara maju.
UNESCO menghantar pakarnya D.J.Dallas ke Malaysia pada tahun 1966 untuk menyediakan rangka agensi berita yang dicadangkan itu dan seterusnya menasihati pelaksanaan penubuhannya.
Setelah  memulakan operasi pada 20 Mei 1968, Bernama berkembang dan  menjadi antara agensi berita nasional  terkemuka di rantau Asia Pasifik.

No comments:

Post a Comment