Thursday, 21 August 2014

Kagum Rakyat Belanda Hormati Jenazah MH17...

 Kagum melihat rakyat Belanda beratur lebih 100 kilometer bagi menghormati ketibaan jenazah mangsa nahas MH17 di Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam adalah antara pengalaman menyentuh hati wartawan dan jurufoto Bernama yang membuat liputan tragedi pesawat malang itu di Ukraine dan Belanda.
Bagi Ketua Meja Jenayah Bernama Mohd Razman Abdullah dan jurufoto Zulkarnain Kamaruddin, pengalaman selama 17 hari membuat liputan itu merupakan  tugasan yang amat sukar dilupakan.
Mereka membuat liputan di Ukraine dari 18 Julai hingga 25 Julai sebelum bergerak ke Belanda dari 26 Julai hingga 4 Ogos.
"Walaupun mereka tak mempunyai sebarang pertalian saudara dengan mangsa namun mereka tunjukkan solidariti, sanggup berbaris di sepanjang laluan Hilversum ke Amsterdam ketika jenazah dibawa dari Ukraine pada 23 Julai lepas," kata Zulkarnain ketika menjadi tetamu dalam Rancangan Khas Hari Perkabungan Negara yang dihoskan Mazidul Dani terbitan Bernama TV hari ini.
Kerajaan hari ini mengeluarkan senarai nama 20 jenazah mangsa MH17 warga Malaysia yang akan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL untuk istiadat penghormatan esok.
"Saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan rakyat Belanda dalam menghadapi insiden itu dan ia sesuatu yang harus kita contohi," katanya.
Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia ditembak sebelum terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai.
Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang -- 283 penumpang dan 15 anak kapal. Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.
Sejumlah 195 warga Belanda dan 43 warga Malaysia adalah antara penumpang dan anak kapal pesawat itu.
Sementara itu, Razman berkata pengalaman diekori pihak keselamatan 24 jam dan berpuasa sehingga 18 jam sehari antara cabaran yang terpaksa ditempuhi mereka.
Katanya, faktor keselamatan sangat dititikberatkan pihak Ukraine berikutan keadaan negara itu yang bergolak akibat peperangan antara kerajaan dan pemberontak.
"Ketika berada di sebuah hotel di Kiev, kerajaan Ukraine menempatkan anggota keselamatannya di setiap tingkat bagi mengawasi pergerakan pengamal media serta delegasi pasukan khas dari Malaysia.
"Selain itu, ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kiev di Ukraine, kami dinasihat untuk tidak mengambil dan memuat naik sebarang gambar di lapangan terbang tersebut ke laman sosial kerana boleh dianggap sebagai maklumat risikan," katanya.
Beliau berharap seluruh rakyat Malaysia turut bersama-sama memberikan penghormatan kepada jenazah mangsa nahas MH17 yang akan tiba esok.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment